PKTAAB LANCAR GELANGGANG SUKAN BAHARU, PERKASA BUDAYA HIDUP SIHAT WARGA PKTAAB




BERTAM, 28 April 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan kesejahteraan holistik warga apabila merasmikan sebuah gelanggang sukan serbaguna di PKTAAB, hari ini.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin itu menandakan satu lagi langkah strategik PKTAAB dalam memperkasa keseimbangan kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani dalam kalangan warga kerja.


“Gelanggang ini mencerminkan usaha kita dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh warga, selaras dengan keperluan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.
Pembinaan kemudahan tersebut bukan sekadar menyediakan ruang riadah, malah menjadi simbol komitmen berterusan PKTAAB dalam menyokong agenda global United Nations menerusi Sustainable Development Goals, khususnya SDG 3: Good Health and Well-being.


Dibangunkan dalam tempoh 16 minggu bermula 14 November 2025 hingga 13 Mac 2026, kemudahan itu dilengkapi pelbagai ciri moden termasuk lampu limpah dan pagar keselamatan bagi menyokong aktiviti seperti futsal, bola tampar, bola jaring, pickleball dan sepak takraw.
Lebih signifikan, penggunaan permukaan tapak berasaskan bitumen dengan kemasan lapisan acrylic surface coating jenis fleksibel bukan sahaja meningkatkan prestasi permainan, malah mengurangkan risiko kecederaan, sekali gus menzahirkan keutamaan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.


Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Bajet Inisiatif Naib Canselor Fasa 2 Tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM304,000, sekali gus mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti kampus secara menyeluruh.
Dalam pada itu, kewujudan gelanggang berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada penglibatan aktif warga PKTAAB dalam pelbagai kejohanan sukan termasuk Sukan Antara Jabatan (Sukjab), Kejohanan Sukan 4 Penjuru dan membantu PKTAAB untuk memperoleh kemenangan dan seterusnya membolehkan warga staf PKTAAB mewakili universiti dalam Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM)
Sejurus selepas perasmian, program 3S: Sehati, Sejiwa, Sejahtera Siri 2 turut dianjurkan sebagai kesinambungan usaha pengurusan dalam mengimbangi kesihatan fizikal, emosi dan spiritual warga kerja.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya serta dijaga dengan baik demi memastikan kelestarian dan manfaat berpanjangan kepada seluruh warga PKTAAB.


Teks Disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Puan Noorsyuhada Abdul Rahim & Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
28 April 2026
