BENGKEL PHLEBOTOMY SIRI 1 TINGKAT KOMPETENSI KLINIKAL STAF KEJURURAWATAN PKTAAB



BERTAM, 20 April 2026 – Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan Bengkel Phlebotomy Siri 1, yang julung kali diadakan khusus untuk jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan (PPP).
Program Phlebotomy & Venipuncture: Clinical Competency Training ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam prosedur pengambilan darah yang selamat, tepat dan beretika, merangkumi aspek teknik venipuncture, pengendalian spesimen serta pematuhan kepada garis panduan keselamatan dan kawalan jangkitan.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil Pengarah PKTAAB, Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, yang menekankan kepentingan penguasaan kemahiran phlebotomy dalam memastikan keselamatan pesakit dan ketepatan keputusan diagnostik.
Bengkel ini turut menyokong pemerkasaan kompetensi klinikal staf kejururawatan melalui latihan berstruktur yang menitikberatkan pelaksanaan prosedur secara aseptik dan selamat, di samping memperkukuh pematuhan terhadap aspek keselamatan pesakit serta etika penjagaan.




Selain itu, program ini selaras dengan keperluan Credentialing & Privileging (C&P) bagi kebenaran jururawat menjalankan prosedur venipuncture, berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pengisian program merangkumi sesi teori dan praktikal termasuk demonstrasi serta latihan hands-on melalui stesen kemahiran seperti cannulation, penggunaan Vein Access Device (VAD) dan prosedur pengambilan darah.


Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa kompetensi warga kejururawatan, seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit di PKTAAB.


Teks disediakan oleh: Suziela Wati Sulaiman
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
