PKTAAB Memperkukuh Sokongan Komuniti dalam Penjagaan Pesakit Terlantar



Kepala Batas, 18 April 2026 – Telah berlangsung dengan jayanya Program Penjagaan Asas Pesakit Terlantar Bersama Komuniti anjuran Unit Paliatif, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) dengan kerjasama Pertubuhan Paliatif Universiti Sains Malaysia di Bilik Seminar, Kompleks Penyelidikan Kanser, PKTAAB.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang melibatkan peserta daripada kalangan masyarakat umum, khususnya ahli keluarga dan penjaga pesakit terlantar. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap aspek penjagaan pesakit terlantar secara holistik, meliputi keperluan fizikal, emosi, sosial dan spiritual.




Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran diikuti bacaan doa serta ucapan aluan oleh Pengarah Program, Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof yang turut menyampaikan pengenalan mengenai konsep penjagaan asas pesakit terlantar. Tayangan video berkaitan turut dipersembahkan bagi memberi gambaran awal kepada peserta.
Program diteruskan dengan tiga sesi ceramah utama. Ceramah pertama menekankan kepentingan penjagaan asas pesakit terlantar dalam konteks komuniti, diikuti ceramah kedua yang memberi fokus kepada aspek pemakanan bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup pesakit. Seterusnya, ceramah ketiga menyentuh tentang kepentingan sokongan psikologi kepada pesakit serta ahli keluarga dalam menghadapi cabaran penjagaan jangka panjang.


Peserta didedahkan kepada sesi praktikal interaktif secara berkumpulan yang menampilkan demonstrasi teknik menukar lampin, cadar dan pakaian pesakit. Selain itu, mereka turut menjalani latihan menukar posisi serta pemindahan pesakit dari katil ke kerusi roda dengan cara yang selamat. Peserta juga diberi pendedahan mengenai penjagaan luka tekanan dan stoma, di samping mempelajari teknik pengendalian serta pemasangan tiub nasogastrik.
Sesi soal jawab yang diadakan memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada doktor, jururawat, pegawai dietetik, pegawai psikologi dan jurupulih anggota. Program turut diselitkan dengan aktiviti kuiz dan cabutan bertuah bagi meningkatkan penglibatan peserta.


Program ini bukan sahaja memberi ilmu dan kemahiran asas kepada penjaga, malah membantu memperkukuhkan sistem sokongan komuniti dalam menjaga kebajikan pesakit terlantar di rumah seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup pesakit dan kesejahteraan penjaga. Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas.



Teks disediakan oleh,
Dr Siti Nooraini Mohamad Yusof,
Pengarah Program,
Ketua Unit Paliatif,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB),
