Skip to main content

RADTRACKERS UNGGULI MINI KONVENSYEN KIK HORIZON BAHARU PERINGKAT USM DALAM KATEGORI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

sdg8

BERTAM, 16 April 2026 – Kumpulan RadTrackers dari Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan kategori Penyampaian Perkhidmatan dalam Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) 2026.

Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan sebanyak 10 kumpulan dari Kampus Induk, Kampus Kesihatan serta Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia yang bersaing dalam dua kategori utama iaitu Kategori Sosial yang melibatkan tiga kumpulan dan Kategori Penyampaian Perkhidmatan dengan tujuh kumpulan penyertaan.

Kumpulan RadTrackers yang dianggotai oleh Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A Karim, Dr. Shazatul Ezanni Samsudin, Puan Siti Zaleha Mat Isa, Cik Norhaliza Abd Hamid, Puan Salmiza Zakaria dan Puan Noor Azian Md. Fadzil telah berjaya menyerlah menerusi projek inovatif bertajuk “Sistem Janji Temu Digital Radiologi”. Projek tersebut memberi fokus kepada peningkatan kecekapan sistem janji temu serta menambah baik pengalaman pesakit secara menyeluruh.

Hasil daripada pembentangan yang mantap serta impak projek yang signifikan, kumpulan ini berjaya merangkul gelaran johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, piala dan sijil kemenangan.

Lebih membanggakan, kejayaan ini turut melayakkan kumpulan RadTrackers untuk mewakili USM ke pertandingan KIK peringkat Universiti Awam yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos ini.

Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen tinggi pasukan dalam membudayakan inovasi di samping usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui pendekatan digital.

Teks disediakan oleh : Ketua Jururawat Norhaliza Abd Hamid dan Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim

Foto : Kumpulan RadTrackers PKTAAB
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi