PKTAAB PERKASA KESELAMATAN TEMPAT KERJA MELALUI CERAMAH CDM 2024 DAN LATIHAN SEMULA PTW


BERTAM, 16 April 2026 – Unit Persekitaran dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) PKTAAB telah menganjurkan program intensif Ceramah CDM 2024 dan Latihan Semula Permit Kerja (PTW) bagi memantapkan kompetensi warga kerja teknikal. Program yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam ini dihadiri oleh staf Seksyen Kejuruteraan, Seksyen Keselamatan, serta barisan ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) PKTAAB.


Dalam ucapan aluan, Ketua Unit OSHE, Dr. Maisarah Nasution Waras menekankan kepentingan integriti dalam keselamatan pekerjaan. "Komitmen kita terhadap keselamatan tidak boleh dikompromi. Kita mahu pastikan setiap daripada kita bukan sahaja memahami teori perundangan baharu CDM 2024, malah berupaya mengaplikasikannya dengan berkesan demi menjamin persekitaran yang sifar kemalangan," ujar beliau semasa merasmikan sesi tersebut.



Sesi pagi program dimulakan dengan taklimat mengenai Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 atau CDM 2024. Ceramah ini disampaikan oleh Puan Maizatul Akmar binti Md Zain, Pemeriksa Kilang dan Jentera daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP atau DOSH) Negeri Pulau Pinang. Turut hadir memberi sokongan pada sesi ini adalah staf daripada Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (UKKP) USM, Puan Nurul Adilah Mohd Badroldin dan Encik Rozaidee Ishak.
Sesi pemantapan perlaksanaan PTW di PKTAAB turut diadakan pada hari tersebut dengan fokus beralih kepada latihan semula pengisian dan semakan PTW yang dikendalikan oleh Cik Nurislah Baharuddin, Pegawai Unit OSHE. Sesi ini berfungsi sebagai platform libat urus yang penting antara Unit OSHE dengan staf lapangan. Melalui semangat kebersamaan, Unit OSHE mengambil maklum segala maklum balas dan cabaran yang dihadapi oleh staf Kejuruteraan serta Seksyen Keselamatan dalam pelaksanaan PTW sebelum ini. Segala input ini akan digunakan untuk menambah baik prosedur sedia ada agar ianya lebih praktikal namun tetap mematuhi piawaian keselamatan yang sepatutnya.
Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen PKTAAB dalam memastikan setiap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan diuruskan secara profesional, telus, dan berimpak tinggi selaras dengan usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan serta tadbir urus organisasi.
Teks disediakan oleh: Dr. Maisarah Nasution Waras & En. Mohd Sharqawi Omar
Foto: En. Mohd Sharqawi Omar& Cik Fatimah Az-Zahra’ binti Mohamad Akhyar
