Skip to main content

PENGUKUHAN JAWATANKUASA PENILAIAN SPESIFIKASI DAN TEKNIKAL PKTAAB BUKTI KOMITMEN KEPADA TADBIR URUS PEROLEHAN YANG BERINTEGRITI

BERTAM, 10 April – Satu sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Penilaian Spesifikasi dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal Sebut Harga dan Tender berkaitan perolehan peringkat PKTAAB di bawah projek RMK-13 RP1 telah diadakan bagi memperkukuh tadbir urus proses perolehan peralatan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), khususnya bagi projek RMK13 RP1.

Objektif utama perjumpaan ini adalah untuk memastikan dokumen perolehan sebut harga dan tender alatan pusat ini dapat disediakan dengan lebih sistematik, lengkap serta mematuhi keperluan semasa bagi melancarkan proses kelulusan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah turun padang meluangkan masa beliau di tengah kesibukan tugas bagi berkongsi pandangan serta memberikan panduan secara langsung berkaitan aspek-aspek penting dalam proses perolehan.

Dalam sesi tersebut juga, Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin menekankan kepentingan tanggungjawab pengguna dalam memastikan dokumen permohonan perolehan disediakan dengan lengkap dan teratur. Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun sebahagian staf masih baharu dalam proses perolehan seperti sebutharga dan tender, pengalaman ini merupakan proses pembelajaran penting yang memerlukan kemahiran berterusan bagi memastikan kelangsungan tadbir urus perolehan alatan pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Encik Ummar Muqhthear bin Sabri, pegawai kewangan dari Jabatan Bendahari USM yang membantu pihak PKTAAB dalam memperkemas penyediaan permohonan perolehan alatan.

Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen PKTAAB dan USM dalam memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan secara profesional, telus dan berimpak tinggi selaras dengan usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan serta tadbir urus organisasi.

Teks disediakan oleh: Puan Nurul Amira Mohd Ali
Teks disunting: Puan Iza Rahayu Abd. Rahim
Foto: Prof. Badrul Hisham Yahaya dan Puan Nurul Amira Mohd Ali
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia