Skip to main content

PKTAAB USM CAPAI PENARAFAN 5 BINTANG MyRA 2025, PERKUKUH KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN KANSER

BERTAM, PULAU PINANG, 1 APRIL 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan Skor MyRA 82.07 (Sangat Baik) bagi tahun 2025, sekali gus mencapai 100 peratus sasaran Program Flagship yang ditetapkan.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi serta kecemerlangan berterusan warga akademik, penyelidik dan rakan kolaborasi PKTAAB dalam memacu agenda penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu yang memberi impak signifikan kepada masyarakat.

Seiring dengan kejayaan tersebut, PKTAAB turut menerima Research Leadership Facilitation Grant berjumlah RM20,000 yang telah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sewaktu sesi Perjumpaan Naib Canselor Bersama Ketua Jabatan USM Bil.1/2026, yang bakal memperkukuh kapasiti dalam memperluas penyelidikan berimpak tinggi, merangsang inovasi serta memperkasa jaringan kolaborasi strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dari segi pencapaian utama, PKTAAB mencatat prestasi cemerlang dalam komponen pascasiswazah dengan melepasi had maksimum penilaian, di samping mengekalkan tahap memuaskan dalam komponen penyelidikan dan penyelidik. Keupayaan ini disokong oleh kekuatan modal insan yang mantap, merangkumi 552 pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada pelajar sarjana dan 293 calon doktor falsafah (PhD).

Selain itu, PKTAAB turut diperkasa oleh 86 ahli akademik berkelayakan PhD atau setaraf, yang memainkan peranan penting dalam mempertingkat kualiti penyelidikan serta pembangunan kepakaran dalam bidang kanser.

Dalam aspek penerbitan ilmiah, PKTAAB berjaya menghasilkan 272 penerbitan jurnal berindeks, termasuk 110 penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi (Q1 dan Q2). Keupayaan kolaboratif turut terserlah melalui 250 penerbitan bersama yang melibatkan kerjasama antarabangsa, nasional dan industri.

Pengukuhan jaringan global turut menjadi keutamaan apabila PKTAAB berjaya memeterai 38 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antarabangsa, sekali gus memperluas keterlibatan dalam ekosistem penyelidikan global.

Dalam bidang inovasi dan pemindahan ilmu, PKTAAB merekodkan 59 harta intelek, manakala pelaksanaan sembilan projek komuniti telah memberi manfaat kepada 21 komuniti setempat, mencerminkan komitmen berterusan terhadap kesejahteraan masyarakat.

Kejayaan ini memperkukuh kedudukan PKTAAB sebagai peneraju dalam penyelidikan kanser berteknologi tinggi yang berteraskan komuniti, selari dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk memacu kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan di peringkat global.

Teks disediakan oleh: Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam USM
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia