Skip to main content

PROGRAM RAPID REPORTING MOCK EXAM KE-13: MEMPERKASA KEPAKARAN BAKAL PAKAR RADIOLOGI

BERTAM, 4 APRIL 2026 - Unit Imejan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), telah berjaya menganjurkan Program Radiology Rapid Reporting Mock Exam siri ke-13, meneruskan kesinambungan program yang telah lama menjadi program tahunan unit tersebut. Penganjuran kali ini amat bermakna kerana siri terakhir program dianjurkan ialah pada tahun 2018. Program yang dijalankan ini adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan pelajar Sarjana Perubatan Radiologi dalam menghadapi peperiksaan akhir kepakaran, serta memperkukuh kemahiran mentafsir imej radiologi secara pantas, tepat dan berkualiti.

Latihan intensif ini dirangka berdasarkan simulasi peperiksaan sebenar, dengan menggunakan format terkini dan sistem pemarkahan yang tepat. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada hampir 150 imej radiografi merangkumi imej kepala, leher, toraks, abdomen, tangan, kaki dan sebagainya. Program ini menampilkan tiga penceramah terdiri daripada Pakar Radiologi, iaitu Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim dan Dr. Shazatul Ezanni Samsudin dari Unit Imejan, PKTAAB, serta Dr. Muhammad Zabidi Ahmad iaitu Pakar Radiologi Jemputan. Ketiga-tiga pakar telah mengendalikan sesi masing-masing dengan cemerlang, sambil berkongsi panduan serta strategi menjawab peperiksaan kepada para peserta.

Program yang disertai 20 pelajar Sarjana Perubatan Radiologi daripada pelbagai institusi pengajian tinggi ini mendapat maklum balas yang sangat positif. Majoriti peserta menyatakan bahawa latihan simulasi ini membantu meningkatkan keyakinan dan keupayaan mereka menghadapi peperiksaan akhir, serta menyarankan agar kursus seperti ini dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Ini selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, dengan meningkatkan kepakaran bakal Pakar Radiologi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi. Selain itu, ia turut menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti, melalui pendekatan simulasi peperiksaan sebenar yang memperkukuh latihan profesional dan pembangunan modal insan dalam bidang perubatan.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen PKTAAB dalam melahirkan Pakar Radiologi yang kompeten, berdaya saing, dan bersedia menghadapi keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin mencabar

Teks disediakan oleh: Dr. Mohamad Zulfadhli bin Abdullah
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim
Foto: Unit Imejan, PKTAAB