Skip to main content

"PKTAAB PERKUKUH KESIAPSIAGAAN KLINIKAL MELALUI “PRE-RESUSCITATION FOR WARD SETTING WORKSHOP”

sdg17

KEPALA BATAS, 31 Mac 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Jawatankuasa Pelaporan insiden, Morbiditi & Mortaliti telah menganjurkan program “Pre-Resuscitation Workshop for Ward Setting” yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama dan Wad Radio-Iodine di Cancer Teaching Complex (CTC), PKTAAB.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 48 orang yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat serta petugas kesihatan PKTAAB yang terlibat secara langsung dalam penjagaan pesakit di wad. Objektif program ini adalah untuk memperkukuhkan keupayaan staf mengenal pasti tanda-tanda awal kemerosotan klinikal pesakit dan langkah-langkah perawatan sewaktu situasi kritikal. Kemahiran klinikal ini diperlukan untuk meningkatkan kompetensi staf dan meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam mengendalikan kes-kes pesakit kritikal di dalam wad.

Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Dalaman PKTAAB, yang berkongsi kepakaran dalam aspek penilaian awal klinikal, pemantauan pesakit serta pendekatan sistematik dalam pengurusan pesakit berisiko tinggi.

Program ini dilaksanakan dalam dua sesi utama, iaitu sesi teori yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, CTC, PKTAAB, dan sesi praktikal (hands-on) yang dikendalikan bersama 3 orang Pegawai Perubatan PKTAAB, Dr. Amirun Idlan Mohd Rosli, Dr. Fathiyah Hayati Rosli dan Dr. Safwan Helmi Mohd Ramly, yang bertindak sebagai fasilitator, yang dijalankan di Wad Radio Iodin. Sesi teori memberi penekanan kepada pemahaman konsep dan pendekatan klinikal, manakala sesi praktikal memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran dalam situasi sebenar di wad.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada aspek penting termasuk pengesanan awal tanda kemerosotan klinikal, persediaan sebelum dan semasa resusitasi, tindakan eskalasi rawatan secara tepat dan pantas serta pengukuhan sistem respons kecemasan di wad. Pendekatan latihan berasaskan situasi sebenar ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan tindak balas awal serta mengurangkan insiden kemerosotan pesakit yang tidak dikenal pasti di dalam wad.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Jawatankuasa Pelaporan Insiden, Mortality and Morbidity dalam memperkukuh budaya keselamatan pesakit serta mengurangkan risiko kejadian tidak diingini melalui pendekatan pencegahan dan pembelajaran berterusan.

Program ini diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kesihatan dalam menghadapi situasi kecemasan serta membantu meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di PKTAAB.

Teks dan Foto disediakan oleh: Dr. Siti Nooraini Mohamad Yusof
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
31 Mac 2026
#pktaab #usm #WeLead