Skip to main content

PKTAAB ANJUR MAJLIS IFTAR PERDANA, PERKUKUH JALINAN USM BERSAMA KOMUNITI

BERTAM, PULAU PINANG, 13 Mac 2026 – Dalam suasana penuh keberkatan pada 23 Ramadan, warga Universiti Sains Malaysia (USM), rakan strategik industri serta komuniti setempat berhimpun dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) yang berlangsung di Kapok Asmara Centre, Bertam.

Majlis yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat ini bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama, malah mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial serta komitmen universiti dalam mendekati masyarakat melalui inisiatif kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata PKTAAB kini berada pada landasan yang semakin kukuh sebagai pusat rujukan utama dalam bidang perawatan dan penyelidikan kanser di negara ini.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PKTAAB atas pemasyhuran nama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Januari 2026 yang lalu di Istana Arau, Perlis.

Sementara itu, Pengarah PKTAAB, Profesor Madya Dr. Bakiah Binti Shaharuddin berkata perkembangan pesat PKTAAB sejak penubuhannya pada tahun 2002 sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju membuktikan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh bidang perubatan khususnya rawatan kanser.

Beliau berkata, PKTAAB kini dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan berteknologi tinggi terutamanya alatan radioterapi termasuk brachytherapy afterloader, satu mesin superficial radiative hyperthermia yang mampu memberikan rawatan kanser yang lebih efektif, terutama bagi kanser head and neck yang telah merebak, serta mesin radioterapi linear accelerator (LINAC) kedua yang mampu membantu memendekkan tempoh menunggu pesakit bagi mendapatkan rawatan radioterapi. Menurutnya lagi, perawatan menggunakan kaedah brachytherapy juga sedang diperluaskan merangkumi kanser hati, oesophagus, serviks dan prostat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PKTAAB yang berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan termasuk juadah berbuka puasa, tadarus al-Quran, kuliah ilmu dan sumbangan kepada golongan memerlukan serta penganjuran Majlis Iftar Perdana ini.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada staf, pelajar dan komuniti setempat yang disampaikan oleh Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebagai tanda keprihatinan, dan juga sumbangan daripada wakil Etiqa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut. Majlis turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Mohd Lokman bin Mukhtar, menambahkan penghayatan Ramadan para hadirin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat; Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni; Ustaz Zayd Zhari, Pengarah Pusat Islam; bersama tetamu jemputan kenamaan, warga komuniti, pegawai-pegawai utama, warga kerja dan pelajar PKTAAB.

Teks disediakan oleh: Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Norizan Ishak & Noorsyuhada Abdul Rahim
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
13 Mac 2026
#pktaab #usm #WeLead