PKTAAB PERKUKUH ASAS DAN LONJAK PRESTASI MELALUI PERUTUSAN PENGARAH 2026
KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 11 Mac 2026: Warga Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia berhimpun bagi mendengar Perutusan Pengarah 2026 yang disampaikan oleh Pengarah PKTAAB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin dalam satu majlis yang berlangsung di dewan Auditorium Sains@Bertam dalam suasana Ramadan yang penuh bermakna.
Dalam perutusan tersebut, beliau menekankan tema “Memperkukuh Asas, Melonjak Prestasi” sebagai panduan kepada warga PKTAAB untuk terus memperkukuh asas organisasi sambil meningkatkan prestasi dalam semua bidang.
Beliau turut mengimbau perjalanan institusi yang bermula sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju pada tahun 2002 sebelum dimasyhurkan sebagai Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Januari 2026. Menurut beliau, penggunaan nama tokoh negarawan tersebut membawa tanggungjawab besar untuk terus memacu kecemerlangan institusi dengan nilai integriti, kebijaksanaan dan kemanusiaan.
Sepanjang tahun 2025, PKTAAB berjaya mencatat pelbagai pencapaian penting dalam bidang klinikal, penyelidikan, akademik dan pembangunan organisasi. Antara kejayaan yang dicapai termasuk pengiktirafan di persada antarabangsa oleh pakar onkologi, peningkatan perkhidmatan paliatif kepada pesakit, kejayaan inovasi penyelidikan serta pencapaian cemerlang dalam penilaian MyRA dengan penarafan enam bintang.
PKTAAB juga mencatat pertumbuhan pelajar sebanyak 55 peratus dalam tempoh lima tahun, di samping menerima peruntukan lebih RM265 juta bagi pelbagai projek pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan.
Bagi tahun 2026, beberapa inisiatif strategik telah dirancang termasuk pengukuhan pembangunan bakat staf, peningkatan penggunaan teknologi dalam rawatan klinikal, penganjuran persidangan antarabangsa, peluasan sistem pendigitalan serta pengukuhan penyelidikan berimpak tinggi.
Dalam amanatnya, Dr. Bakiah turut mengingatkan warga PKTAAB tentang kepentingan memperkukuh kedudukan strategik, penjenamaan dan keterlihatan institusi agar sumbangan pusat ini terus diiktiraf di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau juga menyeru seluruh warga PKTAAB untuk menghayati konsep Itqan fil ‘Amal, iaitu budaya kerja yang menekankan kualiti, ketelitian, amanah dan usaha penambahbaikan berterusan dalam setiap tugasan.
Perutusan tersebut diakhiri dengan penghargaan kepada seluruh warga PKTAAB atas komitmen dan kerjasama yang berterusan dalam memajukan institusi serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Profesor Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah (Pembangunan Projek Khas); Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal dan Kelestarian); Profesor Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa); Dr. Mastura Binti Mohd Sopian, Timbalan Pengarah (Operasi dan Piawaian), Ketua-ketua Jabatan; Pegawai-pegawai Utama PKTAAB serta warga kerja dan pelajar PKTAAB.
Teks disediakan oleh: Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Norizan Ishak & Noorsyuhada Abdul Rahim
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
Universiti Sains Malaysia
11 Mac 2026
#pktaab #usm #WeLead