Universiti Mini 2.0 Semai Aspirasi Pendidikan Tinggi Sejak Awal



KEPALA BATAS, 6 Februari 2026 – Program Universiti Mini 2.0: Langkah Pertama ke Menara Gading berjaya dianjurkan hasil kerjasama strategik antara Sekolah Kebangsaan Bertam Indah (SKBI) dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia (USM) bertempat di Auditorium Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM.
Penganjuran program ini menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, yang menekankan akses kepada pendidikan inklusif, saksama dan berkualiti sejak peringkat awal.
Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid Tahun 1 mengenai persekitaran universiti serta menyemai aspirasi pendidikan tinggi dan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Sepanjang program, murid-murid berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif dalam suasana universiti yang kondusif dan menyeronokkan.
Antara pengisian utama program termasuk sesi pengenalan peranan perpustakaan bersama Ketua Perpustakaan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Puan Lizawati binti Muhammadan, lawatan ke Perpustakaan dan Active Learning Space (ALS) Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, serta penyertaan dalam aktiviti pembelajaran kreatif yang menggalakkan perkembangan kognitif dan sosial murid.
Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga turut menyertai sesi Perkongsian Kesediaan Sekolah Dari Aspek Tingkah Laku dan Sosioemosi Kanak-Kanak yang dikendalikan oleh guru-guru SKBI bersama Puan Helena binti Muhammad Adam, Pelatih Ahli Psikologi Klinikal.
Pengisian ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, dengan penekanan terhadap kesejahteraan emosi dan perkembangan sosioemosi kanak-kanak.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar SK Bertam Indah, En. Zainal bin Ahmad, dan diteruskan dengan ucapan perasmian penutup oleh Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM. Kehadiran Prof. Madya Dr. Rafidah Zainon, Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan, bersama warga kerja Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi dan USM mencerminkan kerjasama pelbagai pihak yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Perkongsian untuk Matlamat. Program diakhiri dengan persembahan ceria oleh murid-murid Tahun 1 sebelum bersurai pada jam 12.15 tengah hari. Penganjuran Universiti Mini 2.0 diharap dapat menjadi langkah awal yang bermakna dalam membentuk aspirasi pendidikan tinggi anak-anak serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang mampan.