Skip to main content

BAHAGIAN PENYELIDIKAN, INOVASI DAN JARINGAN (BPIJ) PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI (PKTAAB) PERKASAKAN PENULISAN LAPORAN KES MELALUI TEKNOLOGI AI

KEPALA BATAS, 6 Februari 2026: Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) telah menganjurkan program inisiatif pemantapan kemahiran bakat bertajuk "Case Report Workshop: From Clinical Case to Publication – AI-Assisted Case Report Writing and Publication Coaching" bagi memperkukuh kemahiran penulisan saintifik dalam kalangan warganya.
 
Program yang berlangsung di Bilik Seminar Komplek Penyelidikan Kanser ini telah dihadiri oleh 75 orang peserta yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan Klinikal, pensyarah, penyelidik, staf pentadbiran dan sokongan, serta pelajar PKTAAB. Kehadiran di luar jangka ini mencerminkan komitmen tinggi warga akademik dan sokongan terhadap kecemerlangan penyelidikan serta penerbitan ilmiah.
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) PKTAAB, Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya yang mewakili Pengarah, dalam ucapannya menekankan bahawa Kecerdasan Buatan (AI) kini bukan lagi sekadar pilihan malah telah menjadi pemacu utama dalam penghasilan ilmu dan penulisan saintifik. Beliau mengingatkan para peserta agar memanfaatkan teknologi AI secara beretika, berintegriti, dan bertanggungjawab bagi meningkatkan kualiti hasil kerja.
 
Bengkel ini menampilkan dua penceramah pakar iaitu Profesor Dato' Ts. Dr. Azhar Bin Mat Easa dari Pusat Pengajian Teknologi Industri dan Profesor Dr. Irfan Mohamad dari Pusat Pengajian Sains Perubatan. Antara pengisian utama termasuklah strategi "Second brain" di mana AI bertindak sebagai pembantu dalam membuat keputusan serta sesi bimbingan khusus (publication coaching) untuk menghasilkan manuskrip yang sedia untuk diterbitkan dalam jurnal berindeks tinggi.
Penganjuran program ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya:
• SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan – Melalui perkongsian ilmu yang mampu meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.
• SDG 4: Pendidikan Berkualiti – Dengan memperkukuh kemahiran akademik dan penyelidikan bagi melahirkan modal insan yang kompeten.
 
Selain menyokong pencapaian KPI universiti dan pensyarah, program ini juga bertujuan untuk melonjakkan reputasi PKTAAB sebagai pusat penyelidikan yang unggul di peringkat global. Melalui inisiatif ini, para peserta diharapkan dapat menghasilkan karya ilmiah yang memberi sumbangan signifikan kepada bidang perubatan dan masyarakat.
PKTAAB mensasarkan setiap pensyarah klinikal menghasilkan sekurang kurangnya satu case report yang diterbitkan di jurnal perubatan yang berindexs.
 
Pengarang Berita: Naziroh Shafii & Dr. Nor Shahida Binti Abd Mutalib
Foto oleh: Safri Zainal Abidin & Naziroh Shafii
Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi
06 Februari 2026