Skip to main content

HOSPITAL PENGAJAR PERTAMA DALAM TUJAHAN KANSER DIMASYHURKAN OLEH TUANKU SYED SIRAJUDDIN IBNI ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL

ARAU, 22 Januari 2026 – Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK), Universiti Sains Malaysia (USM), yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sejak penubuhannya pada tahun 2002, telah mencipta detik bersejarah apabila dimasyhurkan secara rasmi sebagai Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM. Pemasyhuran ini diperkenankan oleh Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dan disempurnakan dalam satu majlis istiadat di Istana Arau, Perlis.

Pemasyhuran ini menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan PPKPK sekali gus memperkukuh peranan pusat ini sebagai Hospital Pengajar pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada rawatan dan penyelidikan kanser. Penjenamaan semula kepada PKTAAB bukan sahaja mencerminkan peluasan fungsi dan kapasiti perkhidmatan, malah membawa penghargaan terhadap legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, yang banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan dan kesihatan negara.

Sejak penubuhannya sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), pusat ini telah mencatat perkembangan signifikan dalam bidang rawatan kanser dan perkhidmatan kesihatan bersepadu. Kini dikenali sebagai PKTAAB, pusat ini menawarkan perkhidmatan rawatan komprehensif merangkumi onkologi klinikal, radioterapi, brakiterapi, perubatan nuklear, rawatan radioiodin, pembedahan, perubatan transfusi, perkhidmatan pergigian kepakaran serta perkhidmatan sokongan termasuk rehabilitasi dan rawatan paliatif.

Pemasyhuran PKTAAB menandakan satu transformasi penting dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan kanser bertaraf antarabangsa, khususnya dalam aspek saringan, diagnostik dan rawatan kanser bagi penduduk di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Pemasyhuran Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, USM menegaskan komitmen berterusan Universiti Sains Malaysia serta negara dalam memperkukuh ekosistem pembangunan ilmu, perkhidmatan rawatan pesakit dan penyelidikan kanser berteknologi tinggi yang berasaskan komuniti, di samping menghargai sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi terhadap pembangunan sektor kesihatan negara.

Teks disediakan oleh: Nurul Amira Mohd Ali
Teks disunting oleh: Yusmadi Norashid
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia

Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser
Universiti Sains Malaysia