BAHAGIAN PENYELIDIKAN, INOVASI DAN JARINGAN 2026: DARI VISI KEPADA NILAI – PROFESOR DR. BADRUL HISHAM YAHAYA TEKANKAN LONJAKAN PRESTASI DAN BUDAYA KERJA CEMERLANG
BERTAM, 19 Januari 2026: Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan (BPIJ), Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK), Universiti Sains Malaysia (USM) kini melangkah ke fasa baharu melalui pelancaran pelan strategik "BPIJ 2026: From Vision to Value". Dalam perjumpaan awal tahun bersama seluruh warga staf BPIJ, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan tahun kematangan bagi bahagian tersebut setelah beliau menerajui BPIJ sejak Januari 2025.
Dalam ucapannya, beliau membentangkan Rangka Kerja Strategik untuk Prestasi Berasaskan Impak Nyata (A Strategic Blueprint for Impact-Driven Performance) yang memfokuskan kepada peralihan daripada sekadar mempunyai visi kepada penciptaan nilai yang nyata bagi universiti dan masyarakat untuk dihayati oleh seluruh warga staf BPIJ.
Profesor Dr. Badrul Hisham menggariskan Tiga Tunggak Utama dan Hala Tuju Strategik yang menjadi asas kepada strategi dan kematangan BPIJ 2026 iaitu Kelestarian (Sustainability), Kecekapan (Efficiency), dan Penciptaan Nilai (Value Creation). Beliau menekankan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan adalah menjadi satu tanggungjawab dan amanah memandangkan BPIJ telah menerima kepercayaan pihak Pengurusan Tertinggi PPKPK dan Universiti dengan peningkatan peruntukan sehingga RM600,000 serta dana RMK13 yang signifikan untuk pembelian peralatan dan fasiliti BPIJ bagi menyokong dan mendokong keperluan penyelidikan institusi ini. "Kita diukur bukan melalui jumlah yang kita belanjakan, tetapi melalui nilai yang kita hasilkan daripada perbelanjaan tersebut," tegas beliau lagi.
Inovasi melalui enam bidang fokus strategik bagi memacu kecemerlangan BPIJ, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) turut memperkenalkan Enam Bidang Fokus Strategik (6 Strategic Focus Areas) bagi tahun 2026 iaitu:
1. Penjanaan Pendapatan & Kelestarian (Revenue Generation & Sustanaibility): Fokus kepada inisiatif yang memberikan nilai kewangan jangka panjang melalui perkhidmatan dan latihan di Seksyen Penyelidikan Haiwan (SPH) serta Makmal Penyelidikan Berpusat (CRL).
2. Mengurangkan Birokrasi (Reducing Bureaucracy): Memudahkan proses dan menghapuskan langkah-langkah yang tidak perlu.
3. Mengurangkan Pembaziran (Reducing Wastage): Mengoptimumkan penggunaan sumber termasuk bahan pakai habis (consumables), bahan kimia, dan kertas melalui ekosistem kerja digital pintar.
4. Mengurangkan Kos, Meningkatkan Produktiviti (Lowering Cost, Increasing Productivity): Melaksanakan strategi untuk mengurangkan perbelanjaan sambil melonjakkan output.
5. Memperkasa Kolaborasi (Empowering Collaboration): Memupuk budaya kerja berpasukan dan matlamat bersama dengan rakan industri serta penyelidik luar.
6. Membangunkan Modal Insan Hebat (Building Great Human Capital): Melabur dalam pembangunan bakat dan kepimpinan (talent development and leadership) bagi memastikan kelestarian organisasi.
Beliau menyeru setiap staf untuk memilih sekurang-kurangnya satu daripada enam bidang ini sebagai asas sasaran inovasi dalam kerja rutin mereka bagi tahun 2026.
Revolusi Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dari senarai aktiviti kepada “Kontrak Nilai” antara perubahan besar yang ditekankan oleh Timbalan Pengarah kepada semua staf BPIJ. Profesor Dr. Badrul Hisham menyatakan kekesalan beliau terhadap amalan lama di mana
SKT hanya dianggap sebagai senarai aktiviti rutin atau “kosmetik” semata-mata. Justeru, beliau mengharapkan staf melakukan transformasi dalam penulisan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).
Beliau menyeru untuk tahun 2026, SKT mestilah berbentuk "Kontrak Nilai" yang mengandungi hasil yang boleh diukur (measurable outcomes). Beliau menetapkan bahawa setiap KPI mestilah mempunyai metrik yang jelas, garis masa (timeframe), pemilik (owner), dan boleh diaudit (auditability). Tarikh akhir penghantaran SKT 2026 ditetapkan pada 15 Februari 2026 dengan pengesahan oleh Pegawai Penilai Pertama (PPP) pada 28 Februari 2026, manakala semakan semula SKT pada bulan Ogos 2026.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Badrul Hisham turut menyentuh aspek Budaya Kerja Cemerlang berteraskan hadis dengan memperkenalkan konsep "Kurangkan proses, lebihkan keputusan". Beliau mahu BPIJ menjadi tempat kerja yang selamat, saling hormat-menghormati, produktif dan bermakna. Produktiviti menurut beliau adalah hasil daripada Kejelasan (Clarity) dan Kepercayaan (Trust) bukannya tekanan (pressure). Beliau juga menyeru semua staf untuk bersifat fasilitatif dalam memudahkan urusan orang lain agar urusan mereka juga dipermudahkan.
Falsafah kecemerlangan ini turut berpaksikan kepada pesanan "Rebut lima perkara sebelum lima perkara" bagi mengelakkan sikap menangguh kerja (procrastination). Beliau berharap agar warga BPIJ memanfaatkan waktu sihat dan muda untuk membina bakat serta memberikan sumbangan bermakna seolah-olah ia adalah satu ibadah yang meninggalkan legasi bukan sekadar laporan semata-mata.
Di akhir ucapan beliau, Profesor Dr. Badrul Hisham menyatakan harapan yang tinggi agar Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan akan terus berkembang menjadi aset penting Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser atau (Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi) khususnya dan universiti secara amnya. Beliau menekankan ekosistem yang dibina menjadikan PPKPK sebuah institusi yang hebat sehingga menjadi rebutan staf dan pensyarah lain untuk beralih ke sini. "Kekuatan hala tuju universiti bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai aset utama. Jadikan diri kita aset yang menghasilkan nilai terbaik untuk PPKPK," ujar beliau mengakhiri ucapan.
Pengarang Berita: Naziroh ShafiiBahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan
Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser
Universiti Sains Malaysia