TKSU PEMBANGUNAN KPT TINJAU PROJEK RP1_RMK-13 DI PUSAT PAKAR KLINIKAL DAN PENYELIDIKAN KANSER (PPKPK), USM


KEPALA BATAS, 12 Januari 2026 - Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK), Universiti Sains Malaysia menerima lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan serta delegasi Bahagian Pembangunan KPT bagi tujuan lawatan pemantauan projek-projek baharu di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Universiti Sains Malaysia (USM).
Lawatan ini turut disertai Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pengurusan tertinggi universiti, pegawai-pegawai KPT, Pengarah PPKPK, Bendahari USM, wakil Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) serta pengurusan tertinggi PPKPK. Kehadiran delegasi pelbagai peringkat ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan universiti berjalan secara sempurna, menepati masa serta berimpak tinggi.
Sepanjang lawatan dan pemantauan, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan telah dibawa meninjau secara langsung beberapa projek pembangunan strategik PPKPK yang sedang dan akan dilaksanakan. Antara lawatan seperti projek Hospital Pengajar Penyelidikan Universiti (HPPU) berkapasiti 25 Katil di bawah RP5_RMK-12 bernilai RM 39 Juta yang pembinaannya bertujuan memperkukuh kapasiti perkhidmatan klinikal serta latihan kepakaran. Manakala projek Pusat Pengajaran Kanser (Cancer Teaching Centre, CTC) bernilai RM 122 Juta di bawah RP1_RMK-13 yang dirangka sebagai hab pengajaran dan latihan bersepadu dalam bidang onkologi, radioterapi dan penyelidikan kanser.
Selain itu, delegasi turut diberi taklimat berhubung projek penggantian peralatan perubatan usang di Unit Onkologi yang dilaksanakan bagi memastikan penggunaan teknologi perubatan yang lebih selamat, efisien sejajar dengan keperluan semasa rawatan kanser. Lawatan ini juga merangkumi kerja-kerja renovasi Wad Kanser yang melibatkan penambahan dan penaiktarafan 20 katil, bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta kecekapan penyampaian perkhidmatan klinikal.
Pelaksanaan keseluruhan projek ini mencerminkan komitmen berterusan USM, khususnya PPKPK, dalam memperkukuh ekosistem rawatan, pengajaran dan penyelidikan kanser secara menyeluruh. Inisiatif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur fizikal, malah menekankan kualiti perkhidmatan kesihatan, pembangunan modal insan dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan negara.
Secara keseluruhan, lawatan pemantauan ini telah memberikan ruang kepada perbincangan konstruktif serta pertukaran pandangan antara pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan universiti. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan telah menyampaikan pelbagai maklum balas dan pandangan yang membina, di samping menyatakan penghargaan terhadap prestasi cemerlang serta memastikan semua perancangan rapi projek-projek pembangunan USM yang sedang dilaksanakan, khususnya di PPKPK, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan agenda pembangunan nasional.
Dari perspektif kelestarian global, inisiatif pembangunan ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kehidupan Sihat dan Sejahtera, melalui usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan kanser yang berkualiti, selamat dan berkesan. Pada masa yang sama, pembangunan infrastruktur dan kemudahan pengajaran yang dirancang turut menyumbang kepada SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, dengan menekankan pemerkasaan infrastruktur kesihatan moden serta penerapan inovasi dalam perkhidmatan dan latihan perubatan.
Program lawatan pemantauan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada kelancaran pelaksanaan projek-projek strategik USM, sekali gus memperkukuh peranan PPKPK sebagai pusat kecemerlangan klinikal, pengajaran dan penyelidikan kanser di peringkat nasional dan serantau.
Teks disediakan oleh: Nurul Amira Mohd Ali
Teks disunting oleh : Ts. Mohd Noor Naina Mohamed
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser
Universiti Sains Malaysia