Skip to main content

GEROBOK REZEKI: INISIATIF FOOD BANK PELAJAR PERKUKUH KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN WARGA PPKPK

BERTAM, PULAU PINANG, 13 Januari 2026 – Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA), Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK) terus komited dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelajar melalui pelaksanaan inisiatif Food Bank Pelajar yang dikenali sebagai “GEROBOK REZEKI – Rezeki Dikongsi, Ilmu Disuburi.”

Program kebajikan ini diwujudkan sebagai satu usaha berterusan bagi membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan, khususnya pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar antarabangsa yang berjauhan daripada keluarga. Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar mempunyai akses kepada keperluan asas makanan agar tumpuan terhadap pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik dapat diteruskan dengan lebih baik.

Menurut seorang pelajar Sarjana di PPKPK, program ‘GEROBOK REZEKI’ memberi impak yang amat besar dalam kehidupan seharian mereka. “Program ini sangat membantu saya dalam mengurus perbelanjaan harian sebagai pelajar. Dengan adanya bantuan makanan, sekurang-kurangnya saya tidak perlu terlalu risau tentang keperluan asas dan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian serta tugasan akademik,” katanya.

Seorang lagi pelajar prasiswazah turut berkongsi bahawa walaupun bantuan yang disediakan kelihatan sederhana, namun kesannya amat signifikan. “Bantuan makanan ini mungkin nampak kecil pada pandangan sesetengah pihak, tetapi bagi kami yang benar-benar memerlukan, ia memberi kelegaan yang besar. Selain meringankan beban kewangan, program ini juga membuatkan kami rasa dihargai dan disokong oleh pihak universiti,” jelas beliau.

Pelaksanaan ‘GEROBOK REZEKI’ juga memberi makna tersendiri kepada pelajar antarabangsa. Seorang pelajar menyatakan bahawa, “Sebagai pelajar yang jauh dari keluarga dan berada di negara asing, inisiatif seperti ini memberi rasa selamat dan keyakinan bahawa kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian. Sokongan ini amat membantu dari segi emosi dan mental sepanjang tempoh pengajian.”

Dari segi pelaksanaan, makanan disediakan secara berkala di lokasi yang telah ditetapkan bagi memudahkan akses pelajar. Selain itu, sumbangan yang diterima turut digunakan untuk pembelian makanan kering dan keperluan asas mengikut kesesuaian serta keperluan semasa pelajar. Kutipan sumbangan dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama warga PPKPK bagi memastikan kesinambungan program ini dapat diteruskan.

Seorang wakil pelajar turut menyifatkan inisiatif ini sebagai satu manifestasi keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar. “Program GEROBOK REZEKI bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas, malah mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam mewujudkan persekitaran kampus yang prihatin, inklusif dan menyokong kesejahteraan pelajar secara menyeluruh,” ujarnya.

Secara keseluruhan, pelaksanaan program ‘GEROBOK REZEKI’ bukan sekadar menyediakan bantuan makanan, malah berperanan penting dalam menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan akademik pelajar. Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan dan diperkukuh sebagai sebahagian daripada usaha universiti dalam membina ekosistem kampus yang lestari, prihatin dan berdaya tahan.


Teks disediakan oleh : Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi & Zurina Md Pazil
Teks disunting oleh: Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi

Pusat Media & Perhubungan Awam
Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser
Universiti Sains Malaysia