Skip to main content

PROGRAM “RIDE FOR LIVER HEALTH: IPPT COMMUNITY EDITION” GALAKKAN GAYA HIDUP SIHAT WARGA IPPT

BERTAM, 13 Disember 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam menyokong agenda pembangunan mampan dengan mempromosikan kesihatan, kesejahteraan dan keterangkuman komuniti melalui penganjuran Program Ride for Liver Health: IPPT Community Edition. Program berkonsepkan kesihatan dan kekeluargaan ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 80 orang peserta bersama ahli keluarga masing-masing.

Program anjuran Program Penyelidikan Advanced Management of Liver Malignancies (Liver- ENRICH) ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz dan berlangsung di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB). Penganjuran program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) melalui sokongan terhadap persekitaran kerja yang sihat dan produktif, serta SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan) dengan memupuk penyertaan inklusif melibatkan staf, pelajar dan keluarga.

Program dimulakan dengan aktiviti berbasikal/ebike dan brisk walk santai di sekitar kawasan PPUSMB dan Kompleks Penyelidikan Kanser (CRC). Aktiviti ini disertai oleh peserta daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, sekali gus mencerminkan sokongan warga IPPT terhadap amalan gaya hidup aktif yang menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Pengarah IPPT, YBhg. Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin. Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah (Pembangunan Projek Khas) dan Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian dan Piawaian). Dalam ucapannya, Pengarah IPPT menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan jawatankuasa kerja atas usaha menganjurkan program berimpak yang menggabungkan elemen kesihatan, riadah dan penglibatan komuniti, di samping menekankan kepentingan pencegahan awal dan pendidikan kesihatan dalam menangani isu kanser hati.

Program turut diisi dengan ceramah ringkas bertajuk “Jagalah Hatimu” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Hasni Arsad, selain pameran Liver Cancer Awareness yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai faktor risiko, langkah pencegahan dan kepentingan pengesanan awal. Aktiviti derma darah serta sudut mewarna kanak-kanak turut diadakan bagi memastikan penyertaan menyeluruh dan mesra keluarga, selari dengan prinsip keterangkuman.

Kemuncak program menyaksikan pelbagai permainan sukaneka bertema kesihatan hati seperti Hati Bukan Kristal, Fight Liver Cancer: Sharpshooter Challenge, Kau Curi Hatiku, Tenangkan Hatimu, Stabilkan Kayuhanmu dan Satukan Hatimu, Jalinkan Basikalmu. Aktiviti- aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya menyampaikan mesej kesihatan secara kreatif dan mudah difahami oleh semua lapisan umur.

Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan edaran makanan. Secara keseluruhannya, penganjuran Ride for Liver Health: IPPT Community Edition berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, menyokong suasana kerja yang sihat dan produktif, serta memupuk penyertaan inklusif dalam kalangan komuniti IPPT, sejajar dengan komitmen IPPT terhadap agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan warga institusi. 

Teks disunting oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Foto: Encik Norizan Ishak

Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia