IPPT USM TERIMA KUNJUNGAN MRSM:
FOKUS PERKHIDMATAN KECEMASAN, PENDIDIKAN KESIHATAN DAN PELUANG KOLABORASI


KEPALA BATAS, 5 Disember 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia, menerima kunjungan hormat daripada delegasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan pusat perubatan universiti.
Lawatan yang diketuai oleh Pengetua MRSM TAAB, Encik Fazli Abu Bakar, bertujuan membincangkan potensi kerjasama melibatkan kemudahan rawatan kecemasan untuk para pelajar MRSM selepas waktu pejabat, sebagai langkah memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin. Usaha ini sejajar dengan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, yang menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh.
Selain itu, perbincangan ini telah membuka ruang kepada perancangan projek bersama dalam bidang penyelidikan dan perubatan yang dapat memberi manfaat kepada pelajar MRSM, terutamanya dalam pemerkasaan pendidikan STEM dan pengalaman pembelajaran berasaskan penyelidikan. Inisiatif ini menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dengan memantapkan ekosistem pendidikan yang lebih holistik dan berimpak.
Lawatan ini dilihat sebagai titik permulaan kepada hubungan dua hala yang lebih kukuh antara MRSM TAAB dan IPPT USM, merangkumi perkongsian pengetahuan, program pembangunan pelajar serta aktiviti kolaboratif pada masa hadapan. Delegasi MRSM juga menyatakan minat untuk membawa para pelajar melawat fasiliti di IPPT sebagai usaha meningkatkan pendedahan mereka dalam bidang perubatan, penyelidikan dan inovasi.
IPPT USM kekal komited memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan perubatan, penyelidikan dan pendidikan yang menyokong pembangunan masyarakat serta generasi muda, selaras dengan agenda SDG 3 dan SDG 4 ke arah kesejahteraan negara.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Pn Nurul Amira Mohd Ali
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia