Skip to main content

KERJASAMA STRATEGIK PPUSMB–DARUL HANAN MAINPP MANTAPKAN PENJAGAAN KESIHATAN MULUT DI INSTITUSI WARGA EMAS

SEBERANG PERAI UTARA, PULAU PINANG, 21 November 2025 – Majlis Penutup Program Pemerkasaan Penjaga Terhadap Kesihatan Mulut Warga Emas telah berlangsung dengan jayanya di Darul Hanan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara Bahagian Kesihatan Pergigian, Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) dan Darul Hanan MAINPP di bawah peruntukan Projek Libatsama Universiti–Komuniti daripada Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia.

Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) melalui usaha meningkatkan akses penjagaan kesihatan pergigian yang berkualiti kepada warga emas serta memastikan penjaga dilengkapi kemahiran saringan

Program ini juga mendapat kerjasama daripada Pakar Pergigian Penjagaan Khas, Dr Dasera Raj daripada Hospital Seberang Jaya dan MBD Marketing Sdn Bhd. Objektif utama program ialah meningkatkan kemahiran penjaga dalam mengenal pasti tanda awal penyakit pergigian dan memastikan penjaga mahir menggunakan borang saringan pergigian terhadap warga emas. Usaha ini selaras dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui komponen latihan dan peningkatan kompetensi yang disampaikan secara teori dan praktikal.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, Pengarah Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia. Turut hadir Ustaz Maudi Azizan, Penolong Pengurus Besar Darul Hanan, Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf, MAINPP selaku wakil pengurusan tertinggi Darul Hanan; Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT dan PPUSMB; serta Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, bersama para penjaga dan warga emas yang terlibat dalam program ini.

Program pemerkasaan ini merangkumi modul teori dan praktikal yang dikendalikan oleh pakar dan pegawai pergigian PPUSMB, khususnya Profesor Dr. Norehan Mokhtar, Dr. Nawal Radhiah Abdul Rahman, Dr. Muhammad Syahmie Suliman dan Dr. Nur Nadiah Md Isa. Sepanjang siri bengkel, para penjaga didedahkan kepada teknik saringan awal menggunakan Oral Health Assessment Tool (OHAT), kaedah pemeriksaan mulut, teknik penjagaan kebersihan pergigian, serta panduan pengendalian gigi palsu dan penjagaan harian warga emas. Inisiatif ini turut menyokong SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dengan memberi akses pengetahuan kepada penjaga institusi warga emas yang sering berdepan kekangan maklumat dan latihan formal.

Sebagai kemuncak program, sijil dan cenderahati telah disampaikan kepada 15 penjaga yang berjaya melaksanakan saringan OHAT ke atas 77 orang warga emas di Darul Hanan MAINPP. Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan Buku Panduan Penjagaan Kesihatan Warga Emas, plak serta sijil penghargaan kepada pihak pengurusan Darul Hanan MAINPP sebagai pengiktirafan atas kerjasama strategik dan sokongan padu terhadap penganjuran program ini.

Dalam ucapan penutup, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir menegaskan bahawa usaha membangunkan kapasiti penjaga merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang mampu memberikan impak besar terhadap kualiti hidup warga emas, khususnya mereka yang bergantung kepada penjaga di institusi jagaan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPUSMB atas komitmen berterusan menganjurkan program advokasi kesihatan komuniti secara konsisten.

Program ini diharapkan akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak jalinan kerjasama strategik antara USM dan Darul Hanan MAINPP, khususnya dalam aspek kesihatan, penjagaan jangka panjang dan kesejahteraan menyeluruh warga emas pada masa hadapan selaras dengan hala tuju SDG3 dan SDG17 (Kerjasama untuk Mencapai Matlamat).

Teks disediakan oleh: Dr Ramzalinda Abd Rahman
Teks disunting oleh: Dr Nawal Radhiah Abdul Rahman
Foto: Encik Norizan Ishak

Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia