IPPT PERKASA KOMPETENSI PETUGAS KESIHATAN MELALUI PROGRAM “BACK TO BASIC”


BERTAM, 20 November 2025 — Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan program latihan profesional “Back to Basic: Improvement of Competency” yang menghimpunkan jururawat serta Penolong Pegawai Perubatan dari PPUSMB, Pusat Sejahtera dan Kampus Kejuruteraan. Program intensif selama dua hari ini memberi fokus kepada pengukuhan kemahiran asas klinikal, keselamatan pesakit, komunikasi berkesan dan peningkatan profesionalisme dalam kalangan petugas barisan hadapan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah IPPT, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang menegaskan bahawa penguasaan kemahiran asas adalah tunjang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Menurut beliau, dalam era teknologi perubatan moden, asas klinikal tidak boleh dipandang ringan kerana ia memastikan keberkesanan rawatan, mengurangkan risiko komplikasi dan memperkukuh keselamatan pesakit.
Program yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam itu menampilkan siri pengisian menyeluruh merangkumi aspek komunikasi klinikal, transfusi darah selamat, pengurusan jangkitan, praktis selamat ubat-ubatan serta modul teknikal seperti venipuncture dan interpretasi ECG.
Antara pakar yang terlibat termasuk Ketua Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan PPUSMB, Puan Sharidah Shaari yang membentangkan sesi “Effective Nurse: Client Communication”; Puan Norhayati Abdul Razak, Jururawat U7 Wad Pesakit Dalam PPUSMB yang berkongsi topik “Ensuring Patient Safety: Role in Blood Transfusion”; serta Encik Ahmad Shakry Saidon, Jururawat U6 Unit Kecemasan & Ambulatori PPUSMB yang menyampaikan sesi “ECG Made Easy for Paramedics”.
Sesi latihan turut diperkukuh dengan ceramah oleh Puan Siti Fatimah Shari, Ketua Jururawat U6 Unit Kawalan Jangkitan PPUSMB melalui topik “Bundle of Care & Hygiene for the Patient”. Modul “Beyond the Dose: Safe Practices in Medication Administration” dikendalikan bersama oleh Puan Rosmira Ramli dan Puan Noor Asikin Hashim, manakala Dr. Husnaida Abdul Manan @ Sulong, Pensyarah Perubatan (Anatomi Klinikal) IPPT mengupas teknik “Anatomy of Venipuncture”. Taklimat penutup bertajuk “Spot, Stop, Save: Action on Extravasation” disampaikan oleh Puan Nur Atiqah Abdul Rahim dari Klinik Pakar Perunding PPUSMB.
Selain ceramah, peserta turut menjalani sesi hands-on bagi mengaplikasi pengetahuan secara praktikal dalam suasana klinikal sebenar. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui peningkatan kemahiran teknikal dan keyakinan para petugas dalam mengendalikan prosedur asas.
Prof. Madya Dr. Bakiah turut menyeru semua petugas kesihatan untuk terus komited terhadap pembelajaran berterusan, seiring perubahan pesat dalam dunia penjagaan kesihatan. “Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa ilmu adalah bahaya,” tegas beliau, mengingatkan bahawa keseimbangan antara kemahiran teknikal, empati dan profesionalisme merupakan asas kepada perkhidmatan yang berkesan dan berintegriti.
Program ini bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal petugas kesihatan, malah menyemai nilai tanggungjawab, empati dan amanah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Usaha berterusan seperti ini membuktikan komitmen IPPT dalam merealisasikan SDG melalui peningkatan kapasiti tenaga kerja kesihatan, ke arah masyarakat yang lebih sihat dan sistem penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti.
Teks disediakan oleh : Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Puan Sharidah Shaari
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia