Skip to main content

IPPT USM PERKASA PENDIDIKAN KESIHATAN DAN STEM MAMPAN DI FOI@PENANG 2025

GEORGETOWN, 24 & 25 Oktober 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan mampan dan inovasi pendidikan kesihatan melalui penyertaan aktif dalam Festival of Ideas (FOI) @ Penang 2025, yang berlangsung selama dua hari di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC).
 
Program berprestij ini menghimpunkan pelbagai Institusi Pendidikan, Industri, dan Agensi Kerajaan dalam satu platform idea dan inovasi, dengan memberi tumpuan kepada tema “Smart Health for All: Driving SDG3 through Inclusive Innovation”, sejajar dengan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur).
 
FOI@Penang 2025 dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat juri bagi pertandingan inovasi InnoZilla 2025, diikuti sesi forum bertajuk “From Idea to Impact: Accelerating Innovation Commercialization for Sustainable Growth” yang menekankan kepentingan inovasi lestari dalam penyelidikan dan pembangunan akademik.
Dalam masa yang sama, IPPT tampil menyerlah di bawah segmen Health Zone dengan enam reruai interaktif yang mempamerkan gabungan ilmu perubatan serta sains dan teknologi. Reruai “Health Screening & Medication Awareness Programme” diketuai oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, menjadi tumpuan ramai apabila menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk ujian tekanan darah, glukosa, kolesterol, dan saringan kanser payudara.
 
Inisiatif ini mencerminkan pelaksanaan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) melalui pendekatan pencegahan penyakit dan kesedaran awal terhadap kesihatan masyarakat. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan literasi kesihatan awam, tetapi juga menyokong agenda kesejahteraan komuniti yang menjadi keutamaan IPPT sebagai institusi akademik kesihatan terulung di utara tanah air.
 
Dalam masa yang sama, reruai “Exploring the Power of Radiation” yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon memperkenalkan penerapan teknologi radiasi dalam sektor kesihatan, industri dan alam sekitar. Inisiatif ini turut menyokong SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) melalui pendedahan tentang kepentingan penggunaan teknologi radiasi secara selamat dan beretika dalam meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat. Selain itu, aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang ditonjolkan turut menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan memberi peluang kepada pelajar memahami prinsip saintifik melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan.
Turut menarik perhatian ialah reruai “Let’s Do Nutrition!” oleh Dr. Noorsuzana Mohd Shariff dan pasukan yang menekankan kepentingan pemakanan sihat dan gaya hidup seimbang. Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur telah berpeluang mendalami tentang pemakanan sihat mengikut saranan piramid makanan dan pinggan sihat Malaysia. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mengetahui dan diberikan konsultasi percuma berkaitan status antropometri badan melalui pengukuran indeks jisim tubuh, lemak visceral, peratusan lemak dan otot.
 
Kuiz nutrisi dan cabaran silangkata juga telah berjaya menarik minat dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar sekolah.
 
Aktiviti simulasi nutrisi dan kuiz pendidikan yang dijalankan di reruai ini turut memperkukuh nilai SDG 2 (Tiada Kelaparan) dan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) dengan mempromosikan kesedaran pemakanan seimbang kepada masyarakat umum.
 
Sepanjang hari kedua, reruai IPPT terus menjadi tumpuan utama pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen sains, kesihatan dan inovasi teknologi.
Reruai keempat IPPT iaitu “MedXplore: Human Blood and Anatomy” diketuai oleh Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan memperkenalkan pengunjung kepada organ-organ dalam tubuh manusia. Rata-rata pengunjung yang mengunjungi reruai ini amat tertarik dengan semua aktiviti-aktiviti yang dijalankan terutamanya aktiviti ketahui kumpulan darah. Di samping dapat mengetahui kumpulan darah masing-masing, pengunjung juga dapat mengenali kumpulan darah Rhesus, kepentingan setiap kumpulan darah dan kepentingan menderma darah.
 
Pameran ini memperkukuh SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) di mana pengunjung diberikan peluang untuk melihat bagaimana ujian penentuan kumpulan darah dilakukan secara langsung.
Manakala, reruai “Discover Dental Science” oleh Dr. Nawal Radhiah Abdul Rahman memperlihatkan demonstrasi prosedur pergigian. Aktiviti STEM ini telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada kanak-kanak dan orang dewasa yang teruja menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan. Pengunjung mencuba kemahiran anatomi gigi mereka melalui “3D Tooth Puzzle”, melihat kesan minuman berasid terhadap gigi dalam “Sugar Attack”, belajar bagaimana doktor gigi melakukan rawatan akar gigi dalam “Save My Tooth”, menyaksikan keajaiban ortodontik melalui “Magic Wire”, mencuba pembedahan mini dalam “Biopsy Adventure”, dan meninjau dunia sel menggunakan mikroskop dalam “Microscope Mystery” selaras dengan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik).
 
Reruai yang diketuai oleh Dr. Norfarazieda Hassan iaitu reruai “Biomedical Exploratorium” mengetengahkan konsep ‘A Place to Experiment and Explore, from Cells to Cure’ membolehkan pengunjung meneroka sains kehidupan daripada sel ke sistem imun, serta bagaimana teknologi membantu memahami penyakit dan mencari rawatan baharu.
 
Antara stesen yang paling mendapat sambutan ialah ‘Cell City’ di mana para pengunjung berpeluang melihat ‘bandar dalam sel’ membuat model interaktif sel haiwan dan manusia dengan menggunakan tanah liat dalam pelbagai warna; stesen ‘Gene Scene’ iaitu aktiviti pengekstrakan DNA daripada pisang serta pembinaan model DNA yang mencabar minda menarik minat pelajar dan guru; stesen ‘Detective Diagnostics’ yang memperkenalkan bagaimana saintis bioperubatan mengesan penyakit menggunakan kaedah diagnostik sebenar dengan menggunakan antigen dan atibodi seperti ELISA; stesen ‘Virus Vault’ memberi peluang kepada pengunjung menyingkap dunia mikro virus melalui model dan demonstrasi yang menerangkan cara virus menyerang serta bagaimana vaksin berfungsi; stesen ‘Immunity Arena’ iaitiu aktiviti simulasi pertahanan badan terhadap jangkitan menjadikan pembelajaran tentang sistem imun lebih mudah difahami dan menyeronokkan; dan stesen ‘STEM in Action’ menampilkan ‘Photo booth’ dengan baju makmal dan penerangan interaktif mengenai kerjaya dalam bidang penyelidikan.
Reruai ini turut menerima maklum balas positif daripada pelajar, ibu bapa dan guru, yang memuji pendekatan ‘hands-on’ serta cara penyampaian yang mudah difahami dan secara tidak langsung ini menzahirkan komitmen terhadap SDG 9 (Inovasi dan Infrastruktur).
Bukan itu sahaja, reruai yang diketuai Dr. Nor Adlin Md Yusoff memperkenalkan Nature Quest, yang menggabungkan sains herba dan kesedaran toksikologi dengan amalan lestari, sejajar dengan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 15 (Kehidupan di Darat).
 
Booth bertemakan “Nature Quest” dikendalikan oleh tiga pensyarah dari Jabatan Toksikologi, Dr. Nurul Shafiza, Dr. Nurhuda dan Dr. Nor Adlin bersama empat pelajar pascasiswazah iaitu Nur Irdina, Nur Azhani, Nur Nadhirah dan Li Silei. Booth ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada kanak-kanak dan orang dewasa yang teruja mencuba pelbagai aktiviti berasaskan alam semula jadi. Dalam “Leafy Impressions,” pengunjung menghasilkan corak daun menggunakan warna semula jadi daripada bunga telang, kunyit, paprika dan bayam. Melalui “Color Chrome,” mereka mempelajari teknik kromatografi kertas dengan mengasingkan sebatian warna dalam kunyit. Aktiviti “Nature’s Medicine Pot” memperkenalkan tumbuhan ubatan tempatan dan memberi peluang kepada pengunjung menyusun pokok ke dalam pasu mengikut manfaat kesihatan yang betul. Akhir sekali, dalam “Botanical Bookmarks,” pengunjung mengenali herba seperti misai kucing, ulam raja, belalai gajah dan bayam Brazil sambil menghasilkan penanda buku menggunakan daun sebenar.
 
Penglibatan aktif warga akademik IPPT dalam FOI@Penang 2025 turut memperkukuh SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan, dan industri dalam memperluas jangkauan ilmu dan inovasi kepada masyarakat.
 
Secara keseluruhan, penyertaan IPPT dalam FOI@Penang 2025 bukan sahaja memperlihatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, tetapi turut mencerminkan nilai kemanusiaan dan kelestarian sejajar dengan semangat Universiti Sains Malaysia “Kami Memimpin”, serta mendukung prinsip pembangunan mampan global melalui integrasi ilmu, inovasi dan kesejahteraan masyarakat.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Prof. Madya Dr. Rafidah Zainon
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia