IPPT-USM SEMARAK PINK OKTOBER: IPPT-USM PERKASA ILMU STEM BERSAMA ANAK PESAKIT KANSER: INISIATIF PINK OKTOBER 2025




KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 24 Oktober 2025 – Sempena Sambutan Bulan Kanser Payudara Pink Oktober 2025, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM dengan kerjasama Kelab Ibu Ayah Cakna Anak Pintar (KECAP) Malaysia, telah menganjurkan satu Program Stem Enrich Untuk Anak-Anak Pesakit Kanser (Kategori B40) untuk menyantuni golongan anak-anak yang terkesan secara langsung oleh penyakit kanser yang dihidapi oleh ahli keluarga mereka. Program ini merupakan antara aktiviti yang dijalankan bersempena dengan Program KPT Prihatin Madani: Kesihatan & Kanser Payudara Bersama Komuniti Pulau Pinang (Siri II) yang telah berlangsung pada 19 Oktober lalu di Mydin Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menjadikan sambutan Pink Oktober 2025 tahun ini lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan dalam program STEM Enrich termasuk bengkel interaktif sains, eksperimen mudah, dan permainan berasaskan logik serta kreativiti. Aktiviti yang dijalankan ini adalah berpandukan kepada modul Thinker's ToolKit: Process Science 101. Modul ini telah dibangunkan oleh pihak KECAP Malaysia disokong oleh Persatuan Stem Kebangsaan (NSA), yang diterajui oleh Prof. Emeritus Dato' Noraini Idris.
Modul ini menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan STEM dalam aktiviti seharian, yang mampu mengasah kemahiran asas dalam bidang sains dalam kalangan generasi muda. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada konsep STEM, malah membolehkan anak-anak menggunakan teknologi AI seperti ChatGPT untuk mendapatkan penjelasan dan pemahaman asas, dibimbing oleh fasilitator.
Selain itu, penggunaan aplikasi pembelajaran juga memudahkan penguasaan bahasa Inggeris secara interaktif. Pendekatan ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu mengurangkan tekanan emosi yang mungkin dialami oleh anak-anak akibat penyakit yang dihadapi oleh ahli keluarga mereka, sambil menanam minat mereka terhadap keupayaan AI.
Menurut salah seorang pesakit, Pn Najmul Huda yang merupakan pemandiri kanser payudara dan juga sukarelawan di PPUSMB, program sebegini sangat dinantikan oleh anak-anak beliau yang menanam minat untuk menceburi bidang sains suatu hari nanti. Program sebegini juga mampu membantu anak-anak beliau untuk mengulang kaji sukatan pelajaran yang terlepas akibat terpaksa ponteng sesi persekolahan disebabkan komitmen kepada rawatan beliau.
Pengarah IPPT, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkata, pendekatan ini selaras dengan aspirasi USM sebagai universiti APEX yang komited memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendidikan dan literasi sains.
“Kami percaya bahawa pendidikan STEM mampu menjadi alat pemerkasaan yang bukan sahaja membina masa depan anak-anak ini, tetapi juga memberi harapan baharu kepada keluarga mereka,” ujar beliau.
Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk NGO, staf IPPT, pelajar dan sukarelawan komuniti. Kehadiran mereka menyerikan lagi suasana dan menunjukkan solidariti terhadap perjuangan melawan kanser payudara.
Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik, sektor kesihatan dan komuniti, serta menyemai semangat positif dalam kalangan generasi muda.
Teks Disediakan oleh : Dr. Nor Effa Syazuli Zulkafli
Teks Disunting oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia