ALL STARS ACADEMIA FIESTA 2025: IPPT USM RAIKAN KEUNGGULAN AKADEMIA, INOVASI DAN KEMANUSIAAN



BERTAM, 22 Oktober 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan keunggulan warga akademik melalui penganjuran All Stars Academia Fiesta 2025, yang berlangsung dengan penuh meriah di Auditorium Sains@Bertam.
Majlis dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Geospatialist (Gs). Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, USM, yang turut menyampaikan ucapan inspirasi berteraskan nilai kemanusiaan dalam pendidikan serta keseimbangan antara teknologi dan empati.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa integrasi teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan tinggi perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan mendidik. Menurutnya, “AI mungkin mampu menjawab soalan, namun hanya manusia mampu menyentuh hati pelajar”, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4 – Pendidikan Berkualiti) yang menekankan pembelajaran inklusif dan berkualiti sepanjang hayat.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT, dalam ucapan aluan beliau menegaskan bahawa penganjuran All Stars Academia Fiesta bukan sekadar majlis penghargaan, tetapi platform mengiktiraf dedikasi pensyarah dan penyelidik dalam membentuk IPPT sebagai hab akademik serta penyelidikan bertaraf dunia.
Beliau turut berkongsi kejayaan IPPT apabila beberapa penyelidiknya tersenarai dalam 2% penyelidik terbaik dunia oleh Stanford University dan Elsevier, serta peningkatan pelajar PhD IPPT yang menamatkan pengajian tepat pada masa. Kejayaan ini mencerminkan sumbangan IPPT terhadap SDG 9 iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur melalui penyelidikan berimpak tinggi dan inisiatif digital akademik seperti aplikasi AMDI Student Info Apps serta platform CEBioMeds@IPPT.
Program turut menampilkan sesi keynote “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi” oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Lutfi Amri Ramli, serta persembahan montaj sorotan pencapaian warga akademia IPPT yang melambangkan semangat inovasi dan kolaborasi.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian Anugerah & Sijil Apresiasi Akademia IPPT 2024 merangkumi kategori penyelidikan, penerbitan, pengajaran, penyeliaan, kepimpinan akademik, konsultasi dan penjanaan kewangan.
Melalui anugerah ini secara tidak langsung menjadikan pengiktirafan terhadap peranan IPPT dalam memperkukuh budaya kolaboratif dan kepimpinan ilmu selaras dengan SDG 17 iaitu perkongsian untuk Matlamat dalam mengukuhkan jaringan kolaborasi Akademik, Penyelidikan dan Industri ke arah pembangunan mampan.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa); Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Jaringan); Prof. Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah (Pembangunan Projek Khas); Dr. Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal, Pengerusi Program All Stars Academia Fiesta 2025; serta warga kerja IPPT dan PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Dr. Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia