BENGKEL “INTRODUCTION TO CAD/CAM DENTISTRY” ANJURAN JABATAN SAINS PERGIGIAN IPPT



BERTAM, PULAU PINANG, 23 Oktober 2025 - Buat julung kalinya, Jabatan Sains Pergigian Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menganjurkan bengkel berkenaan pengenalan kepada teknologi digital pergigian iaitu “Computer-aided design and Computer-aided manufacturing (CAD/CAM)”. Bengkel ini adalah anjuran bersama Perkhidmatan Pergigian, Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) dan juga dengan sokongan kerjasama dari pembekal peralatan digital Acodent Malaysia Sdn. Bhd dan Biodynamix Sdn. Bhd.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi fokus kepada ilmu dan kemahiran asas dalam pengendalian alatan dan perisian komputer berkenaan CAD-CAM. Bengkel ini melibatkan dua komponen utama iaitu sesi ceramah dan juga sesi demonstrasi dalam mengendalian alatan dan perisian computer CAD-CAM. Pada akhir bengkel, para peserta mampu mengendalikan mesin pengimbas mulut (oral scanner) dan mempunyai pengetahuan tentang pengendalian perisian komputer untuk mereka bentuk prosthesis pergigian yang tertentu.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharudin, Pengarah IPPT. Hadir bersama adalah Profesor Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas dan Profesor Madya Dr. Fatanah Binti Mohd Suhaimi, Ketua Jabatan Sains Pergigian. Bengkel ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran 30 orang peserta yang terdiri daripada doktor gigi dan juruteknologi pergigian. Terdapat tiga orang penceramah telah dijemput iaitu Dr Juzailah Roffie (Pensyarah Pergigian Prostodontik IPPT), Dr Husniyati Roslan (Pensyarah Pergigian Prostodontik IPPT), dan Dr Khairul Anwar Sanusi (Klinik Pergigian Dr K, Putrajaya).
Ceramah pertama berkaitan “Analog Vs Digital impression” telah disampaikan oleh Dr Juzailah Roffie. Manakala ceramah kedua berkenaan “Milling Vs Printing” telah disampaikan oleh Dr Huniyati Roslan. Aktiviti bengkel ini dirancakkan lagi dengan kehadiran penceramah luar iaitu Dr Khairul Anwar Sanusi. Beliau telah dipilih sebagai penceramah jemputan khas kerana berpengalaman luas dalam pengamalan pergigian digital. Ceramah bahagian tiga telah disampaikan oleh Dr Khairul Anwar Sanusi bertajuk “ Laboratory Digital Workflow” dan diikuti sesi demonstrasi “3D Printing Process: 3D Printed Denture”. Pada sesi petang, aktiviti demonstrasi berkenaan mesin pengimbas mulut (intraoral scanner) dan pencetak 3D (3D printer) telah berlangsung dengan jayanya. Para peserta dapat melihat sendiri dengan lebih dekat secara langsung berkenaan proses pengimbas mulut dan pencetakan 3D dalam penghasilan gigi palsu secara digital. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir dan menyokong penganjuran ini. Semoga usaha berterusan seperti ini memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.