IPPT-USM SEMARAK PINK OKTOBER: PERKASA KESEDARAN AWAL KANSER PAYUDARA BERSAMA KOMUNITI PULAU PINANG




BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 19 Oktober 2025 – Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program KPT Prihatin Madani: Program Kesihatan & Kanser Payudara Bersama Komuniti Pulau Pinang (Siri II) bertempat di Mydin Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang. Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk memperkukuh kesedaran mengenai kanser payudara dan kepentingan saringan kesihatan, di samping menggabungkan elemen pendidikan STEM kepada anak-anak pesakit kanser.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan ucapan aluan dan perasmian yang disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin selaku Pengarah di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB).
Penganjuran program ini adalah selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti APEX yang komited memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pendidikan, literasi sains dan kesedaran kesihatan. Ia juga merupakan manifestasi komitmen IPPT-USM dalam menyokong inisiatif KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) serta misi Community Program for Sustainable Impact.
Antara pengisian utama program ini termasuk Forum Kesihatan bertajuk “Bersama Melawan Kanser: Harapan Kita, Kekuatan Komuniti”, Pameran Kesihatan turut disertai unit kanser wanita, unit radioterapi, unit pendidikan kesihatan dan unit paliatif PPUSMB serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO); Saringan Kesihatan dan Kanser Payudara, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, serta Slot Perkongsian Pengalaman bersama-sama Pemandiri Kanser (cancer survivors).
Forum ini menampilkan Dr. Norhayati Yusop sebagai moderator bersama panel jemputan terdiri daripada Dr. Siti Noraini (Pakar Perubatan Dalaman, PPUSMB), Dr. Goh Hoe Eng (Director of Operation, Yu Ran Care Retirement Centre Sdn. Bhd.), Pn. Amylia Natasha Aziz (Pemandiri Kanser Payudara Tahap 4), dan Cikgu Azmi Azali (Pemandiri kanser Limfoma Tahap 4 dan berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, SK Sultan Mudzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah). Para panel membincangkan isu kesedaran kanser payudara, pengalaman pesakit, serta sokongan yang disediakan oleh NGO dari aspek emosi dan kewangan.
Program ini turut menjadi platform berterusan bagi memperkukuh hubungan antara institusi akademik, sektor kesihatan dan komuniti setempat sekali gus bertujuan meningkatkan kesedaran awal dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan pemeriksaan berkala.
Terdapat lebih 30 peserta yang menjalani saringan awal kanser payudara melalui perkhidmatan Klinik Bergerak PPUSMB dan sebanyak 3 kes untuk pemeriksaan susulan telah direkodkan sepanjang program berlangsung. Pelaksanaan program ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Penjagaan Kesihatan yang menggalakkan kepentingan penjagaan kesihatan yang adil dan berkualiti.
Kehadiran staf IPPT, pelajar dan masyarakat setempat menyerikan lagi suasana program ini. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan menjayakan penganjuran kali ini. Diharapkan usaha murni ini akan terus memberi manfaat dan kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat.
Teks Disediakan oleh : Cik Nur Ibtisam Annisa Zainal Abidin & Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks Disunting oleh: Dr. Nor Effa Syazuli Zulkafli
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
21 Oktober 2025