Skip to main content

NUCLEAR MEDICINE INSIGHT 2025 : PET/CT IMAGING UPDATE & QUALITY ASSURANCE WORKSHOP

KEPALA BATAS, 13 & 14 Oktober 2025 – Nuclear Medicine Insight 2025 : PET/CT Imaging Update & Quality Assurance Workshop anjuran Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) dan Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah berlangsung di Auditorium Sains@Bertam, IPPT dan Unit Perubatan Nuklear dengan kehadiran hampir 50 peserta merangkumi pakar perubatan, pegawai sains fizik, juruteknologi perubatan nuklear, juru x-ray, jururawat perubatan nuklear dan pelajar pascasiswazah dari seluruh negara.

Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendekatan teori yang merangkumi perkembangan semasa dan pembangunan teknologi terkini berkaitan Positron Emission Tomography/Computed Tomography (PET/CT) dalam pengimejan klinikal pada hari pertama dan sesi praktikal pada hari kedua. Seminar pada hari pertama terdiri daripada pelbagai latar belakang yang terlibat secara langsung dengan teknologi PET/CT. Bengkel pada hari kedua pula menerapkan sesi praktikal dalam ujian penilaian kualiti PET/CT bersasar kepada pegawai sains fizik daripada hospital umum dan swasta seluruh Malaysia. Selain itu, kursus ini telah mendapat pengiktirafan sebagai CME(Continuous Medical Education) daripada Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memenuhi keperluan pematuhan Perkhidmatan Perubatan Nuklear di bawah Akta 304.
Antara pengisian utama pada hari pertama adalah sesi pembentangan oleh penceramah jemputan, Dr. Fatin Nadhirah A. Halim dari Jabatan Perubatan Nuklear, Hospital Pulau Pinang yang bertajuk "Role of Medical Physicist in PET/CT: Ensuring System Integrity and Safety". Dalam sesi ini, beliau menghuraikan peranan pegawai fizik perubatan dalam memastikan sistem PET/CT berfungsi secara optimum serta mematuhi piawaian keselamatan, sejajar dengan amalan dalam bidang sains nuklear perubatan. Sesi perkongsian ini turut disertai oleh penceramah dalaman IPPT iaitu Dr. Mohd Syahir Mansor, Dr. Khadijah Abd Hamid, Dr. Hazlin Hashim, En. Mohd Ikhwan Hashim dan Pn. Farakhdina Jamaludin.

Pada hari kedua program, diteruskan dengan sesi praktikal ujian penilaian kualiti PET/CT yang dihadiri oleh pegawai sains fizik daripada Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Gleneagles Johor dan Kuala Lumpur. Sesi ini dapat memberikan pendedahan kepada para peserta melihat dan melakukan sendiri ujian penilaian kualiti berserta dengan laporan lengkap bagi setiap ujian yang dijalankan. Tujuan ujian penilaian kualiti ini dilakukan untuk memastikan sistem mesin PET/CT dalam keadaan yang optimum berdasarkan piawaian antarabangsa iaitu NEMA standard sebelum digunakan kepada pesakit.
Pihak IPPT merakamkan penghargaan kepada Pengarah Program, Dr. Mohd Syahir Mansor, para penceramah jemputan, pihak penaja, semua peserta, serta seluruh jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program ini dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan. Dedikasi dan komitmen mereka adalah antara faktor utama kejayaan penganjuran yang berimpak tinggi ini.

Teks disediakan oleh: Pn. Farakhdina bt Jamaludin
Teks disunting oleh: Dr. Mohd Syahir Mansor
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
14 Oktober 2025