IPPT RAIKAN PELAJAR BAHARU PROGRAM DOKTOR PERUBATAN USM+1: LANGKAH BAHARU KE DUNIA PERUBATAN
KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 14 Oktober 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia telah menerima kumpulan pelajar baharu Program Doktor Perubatan USM+1 bagi Sidang Akademik 2025/2026, sekali gus meneruskan kesinambungan program akademik prasiswazah yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya di kampus USM Sains@Bertam.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) ini menandakan satu lagi langkah strategik IPPT dalam memperkukuh bidang latihan perubatan dan pembangunan tenaga profesional kesihatan di Malaysia. Pelajar baharu Program Doktor Perubatan USM+1 ini akan menjalani pengajian pra-klinikal selama dua tahun (Fasa I) di IPPT sebelum meneruskan pengajian Fasa II (klinikal) di PPSP, Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan.
Majlis suaikenal dan taklimat pengenalan rasmi kepada pelajar baharu telah berlangsung hari ini bertempat di Dewan Kuliah A, Sains@Bertam yang dikendalikan oleh Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan pengedaran bahan orientasi, diikuti dengan ucapan alu-aluan serta pengenalan kepada Hal Ehwal Akademik & Pelajar yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa). Seterusnya, taklimat berkaitan Hal Ehwal Akademik IPPT oleh Puan Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi, Penolong Pendaftar (Akademik & Antarabangsa) manakala sesi AMDI Student Association (ASA) dikendalikan oleh Persatuan Pelajar (ASA).
Taklimat berkaitan pengenalan Kursus Teras Program Fasa 1 dan taklimat mengenai Personal and Professional Development Programme (PPDP) disampaikan oleh Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan selaku Penyelaras Fasa MD USM+1 IPPT dan Prof. Madya Dr. Intan Juliana Abd Hamid, Penyelaras Personal and Professional Development Programme (PPDP). Prof. Madya Dr. Ch’ng Ewe Seng, Penyelaras Kursus Wajib Universiti pula memberikan taklimat berkaitan Kursus Universiti.
Selain itu, sesi penyerahan mentor pelajar turut diadakan yang melibatkan para pensyarah IPPT sebagai mentor kepada pelajar baharu bagi membimbing mereka sepanjang tempoh pengajian.
Pada sebelah petang pula, para pelajar mengikuti sesi pengenalan Problem-Based Learning (PBL) oleh Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim yang turut disusuli dengan sesi PBL mock bagi memberi pengalaman awal kaedah pembelajaran berasaskan masalah yang menjadi teras kepada kurikulum perubatan USM.
Program diteruskan dengan lawatan ke beberapa fasiliti utama di Sains@Bertam termasuk Makmal Pelbagai Guna (MPG), Makmal Kemahiran Klinikal (CSL), Muzium Anatomi, serta bangunan utama akademik IPPT, yang diketuai oleh Dr. Salbiah Isa bersama pasukan fasilitator.
Penganjuran program ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan fungsi IPPT sebagai Pusat Kecemerlangan Akademik dan Penyelidikan, malah menjadi platform penting bagi melahirkan generasi Doktor Perubatan yang kompeten dan beretika tinggi. Diharapkan pelajar baharu akan terus bersemangat meneruskan perjalanan sebagai bakal Doktor Perubatan yang akan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh : Puan Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi
Foto : Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
14 Oktober 2025