IPPT USM KUKUHKAN SOKONGAN PESAKIT DAN KELUARGA MELALUI PROGRAM “TOGETHER FOR PID 2025”
BERTAM, 8 Oktober 2025 – Jabatan Perubatan Klinikal, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Perkhidmatan PID PPUSMB, Masjid Al-Malik Khalid USM, Immunocare Sdn Bhd (SU/SO) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) telah menganjurkan program “Together for PID: Patients, Families and Care Teams 2025” bertempat di Lobi Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB).
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai Penyakit Imunodefisiensi Primer (Primary Immunodeficiency / PID) selain memperkukuh jaringan sokongan antara pesakit, keluarga dan pasukan kesihatan.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program sebegini menjadi wadah penting dalam memperluas kefahaman masyarakat terhadap penyakit jarang berlaku seperti PID.



“IPPT USM komited bukan sahaja dalam aspek rawatan, tetapi turut berperanan memperkasakan komuniti agar pesakit dan keluarga mereka menerima sokongan menyeluruh daripada pasukan perubatan, organisasi serta masyarakat. Sokongan sebegini mampu memberi harapan, kekuatan dan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang menghidap PID,” ujar beliau.
Antara pengisian utama program ialah sesi ceramah bertajuk “Helping Your Child with PID: What Every Parent Should Know” yang disampaikan oleh Prof. Lau Yu Lung, Pakar Pediatrik Imunologi dari University of Hong Kong. Beliau berkongsi panduan kepada ibu bapa mengenai penjagaan anak-anak penghidap PID, termasuk strategi menguruskan cabaran harian dan membina rangkaian sokongan yang kukuh.
Program turut menampilkan sesi soal jawab interaktif yang memberi ruang kepada pesakit dan keluarga untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar perubatan, berkongsi pengalaman, serta mendapatkan nasihat klinikal. Selepas itu, satu perbincangan ilmiah diadakan antara pasukan doktor PID IPPT dan Prof. Lau, menekankan kepentingan kerjasama multidisiplin dalam rawatan dan pembangunan ilmu perubatan berkaitan penyakit imunologi.



Penganjuran program ini berjaya menghimpunkan pesakit, keluarga dan pakar kesihatan dalam satu platform inklusif, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan berkaitan PID.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Madya Dr. Intan Juliana Abd Hamid, Ketua Jabatan Perubatan Klinikal PPUSMB merangkap Ketua Perkhidmatan PID dan Naib Presiden MPA, bersama-sama warga kerja IPPT dan PPUSMB yang turut memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Intan Juliana Abd Hamid & Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
08 Oktober 2025