TRAINING-OF-TRAINERS GURU SIHAT PROSAS | PROGRAM FLAGSHIP IPPT USM
BERTAM, 29 dan 30 SEPTEMBER 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia telah berjaya menganjurkan Training-of-Trainers (ToT) Guru Sihat Program Sihat, Aktif, Segak (PROSAS) pada 29 dan 30 September 2025 bertempat di Auditorium IPPT, Sains@Bertam, Universiti Sains Malaysia, Kepala Batas.
Seramai 60 orang guru sekolah rendah daripada 30 buah sekolah di seluruh daerah Pulau Pinang telah menyertai program ini. Objektif utama penganjuran adalah untuk melatih dan memperkasa guru-guru menggunakan modul digital pencegahan obesiti kanak-kanak PROSAS yang telah dibangunkan oleh beberapa orang pensyarah dari Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT USM yang diterajui oleh Dr Noorsuzana Mohd Shariff, dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia dan University of Nottingham Malaysia.


Aktiviti ToT ini adalah sebahagian daripada program flagship IPPT, iaitu Program Sekolah Sihat, Aktif, Segak (PROSAS) yang berobjektif untuk membudayakan sekolah sihat dengan meningkatkan pencaknaan tentang pencegahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak ke arah pembentukan generasi yang sihat. Penganjuran ToT ini turut mendapat Kerjasama rapat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan turut dihadiri wakil-wakil pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Timur Laut dan Barat Daya.
Majlis ToT ini telah diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Shukri Idris, Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid – Sub Unit 3K Kesihatan, Kebersihan & Keselamatan), daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) serta wakil IPPT, Prof. Madya Dr Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Timbalan Pengarah Akademik dan Pengantarabangsaan IPPT yang telah menyempurnakan majlis penyerahan sijil lantikan Guru Sihat PROSAS kepada guru-guru yang terlibat.




Sepanjang dua hari penganjuran, guru-guru telah menjalani latihan berfokus berasaskan modul PROSAS yang menekankan aspek fizikal, psikologi dan pemakanan sihat, selain diberikan tunjuk ajar dalam penggunaan aplikasi web PROSAS sebagai medium pelaksanaan utama di sekolah.
Guru-guru Sihat PROSAS yang telah dilatih ini akan berperanan sebagai pemudahcara dan pakar rujuk dalam pelaksanaan program PROSAS di sekolah masing-masing. Fasa seterusnya dijangka melibatkan seramai 300 orang murid sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun yang mengalami masalah kegemukan dan obesiti, sekali gus menyokong usaha



Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta, fasilitator serta rakan kolaborasi yang telah menjayakan program ini. IPPT USM akan terus komited dalam melaksanakan program flagship berimpak tinggi demi kesejahteraan komuniti dan kelestarian kesihatan awam.
Teks disediakan oleh: Dr Noorsuzana Mohd Shariff
Teks disunting oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Foto: Encik Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
3 Oktober 2025
#IPPTUSM
#UniversitiSainsMalaysia
#PROSAS