Skip to main content

LAWATAN DELEGASI SMA JABAL RAHMAH MULIA PERKUKUH JALINAN KOLABORASI DENGAN IPPT USM

KEPALA BATAS, 15 Julai 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Sekolah Menengah Atas (SMA) Jabal Rahmah Mulia (JRM), Medan, Indonesia, dalam usaha memperkukuh inisiatif kolaborasi akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
 
Delegasi dari SMA JRM yang diketuai oleh Ir. H. Hardianto, selaku Pengerusi Yayasan Pendidikan Jabal Rahmah Mulia, turut disertai oleh Pengarah SMA JRM, Jihan Harvi Habibah, S.Kom. Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Pengarah IPPT, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, bersama Ketua Jabatan Toksikologi, Prof. Madya. Ts. Chm. Dr. Nur Nadhirah Mohamad Zain dan Penyelaras Kolaborasi Antarabangsa Institusi di Sumatera, Prof. Madya. Dr. Eshaifol Azam Omar.
 
Lawatan rasmi ini merupakan rentetan daripada jalinan awal yang terjalin sejak program Mobiliti Pelajar IPPT ke SMA JRM di Medan pada November 2024 lalu. Program terdahulu melibatkan pelajar IPPT dalam aktiviti perkongsian ilmu berkaitan pembangunan kertas kerja penyelidikan bertemakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) serta demonstrasi sains pengekstrakan DNA yang mendapat sambutan positif daripada warga SMA JRM.
 
Yayasan Pendidikan Jabal Rahmah Mulia yang ditubuhkan sejak 2012 ini mengendalikan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah atas, dengan penekanan kepada hafazan al-Quran, penguasaan Bahasa Inggeris Cambridge, serta pembangunan akhlak Islam dan sahsiah pelajar. SMA JRM turut dikenali dengan kecemerlangan akademik dan pencapaian di peringkat serantau dan antarabangsa.
Lawatan Delegasi kali ini membuka lembaran baharu dalam membentuk kerjasama lebih formal dan menyeluruh, meliputi pendedahan kepada teknologi perubatan, program pertukaran pelajar, latihan sangkutan, serta pemindahan ilmu dalam bidang sains kesihatan dan perubatan. Delegasi turut menyatakan hasrat untuk menjadikan IPPT, USM sebagai pilihan utama bagi pelajar mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah.
 
Antara intipati program yang berlangsung termasuk sesi perbincangan bersama pengurusan tertinggi IPPT mengenai hala tuju kerjasama strategik, lawatan ke fasiliti makmal berpusat (CRL) dan Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC), serta lawatan ke Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB).
 
Kolaborasi ini diharap dapat membuka ruang lebih luas kepada pelajar kedua-dua institusi dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran, memperkaya pengalaman antarabangsa, dan membina jaringan yang mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan kedua-dua negara. Usaha ini bukan sahaja membuka peluang pendedahan awal kepada penyelidikan dan inovasi berteraskan STEM, malah menggalakkan minat pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran di IPPT, USM khususnya.
Dengan sokongan akademik dari IPPT, USM dan ketekunan pendidikan holistik SMA JRM, kolaborasi ini diyakini mampu melahirkan cendekiawan muda yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga bersedia menyumbang secara signifikan dalam bidang kesihatan di peringkat antarabangsa.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
 
Teks disunting oleh: Prof. Madya. Dr. Eshaifol Azam Omar.
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
15 Julai 2025