OPEN SCIENCE & OPEN DATA WORKSHOP ANJURAN PERPUSTAKAAN IPPT, USM
OPEN SCIENCE & OPEN DATA WORKSHOP ANJURAN PERPUSTAKAAN IPPT, USM
BERTAM, 23 Jun 2025- Perpustakaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan Open Science and Open Data Workshop bertempat di Auditorium Sains@Bertam, IPPT, USM. Bengkel ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Antarabangsa IPPT dan disasarkan kepada para pensyarah serta penyelidik IPPT.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman peserta terhadap konsep Open Science serta mengukuhkan kemahiran dalam mengurus data penyelidikan secara lebih sistematik dan terbuka, selaras dengan dasar serta amalan penyelidikan global masa kini.
Barisan penceramah jemputan dari Perpustakaan Hamzah Sendut, USM yang berkongsi ilmu sepanjang sesi adalah Puan Husriati Hussein, Timbalan Ketua Pustakawan, Ketua Seksyen Perkhidmatan Perpustakaan Hamzah Sendut; Dr. Mohd Ikhwan Ismail, Penolong Ketua Pustakawan merangkap Ketua Bahagian Research Data Management, Perpustakaan Hamzah Sendut; serta Puan Noor Adilah Azmi, Pustakawan Kanan, Bahagian Research Data Management, Perpustakaan Hamzah Sendut.
Antara topik penting yang dibincangkan dalam bengkel ini termasuklah pengenalan kepada Sains Terbuka dan Pengurusan Data Penyelidikan. Bukan itu sahaja, antara topik lain yang dibincangkan adalah seperti Pembangunan Pelan Pengurusan Data (Data Management Plan, DMP) yang merangkumi aspek perolehan, penyimpanan, perkongsian dan penggunaan semula data penyelidikan berdasarkan prinsip FAIR Data (Findable, Accessible, Interoperable, Reusable). Seterusnya, perbincangan berkaitan pengurusan metadata sebagai elemen penting dalam meningkatkan keterlihatan dan keteraksesan data serta OpenData@USM iaitu inisiatif keterbukaan data penyelidikan di peringkat universiti.



Melalui penganjuran bengkel ini, para peserta telah didedahkan kepada amalan terbaik dalam penyimpanan dan perkongsian data penyelidikan, serta kepentingan budaya penyelidikan terbuka yang menyokong keterbukaan ilmu dan kerjasama rentas disiplin.
Perpustakaan IPPT merakamkan penghargaan kepada semua penceramah dan peserta yang terlibat, dan berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan dalam usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan yang lebih telus, berintegriti dan lestari. Sekalung Tahniah juga diucapkan kepada para pemenang kuiz yang telah berjaya dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Perpustakaan IPPT, USM.

