Skip to main content

BENGKEL `MASTERING THE BASICS: HANDS-ON CELL CULTURE TECHNIQUES` OLEH BAHAGIAN PENYELIDIKAN, INOVASI DAN JARINGAN (BPIJ) BERI PENDEDAHAN LUAS KEPADA STAF/PELAJAR DALAM PRINSIP DAN TEKNIK ASAS KULTUR SEL

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, 17&18 JUN 2025: Kumpulan Pegawai Penyelidik, Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan (BPIJ) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), dengan kerjasama bersama Apical Scientific Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Bengkel `Mastering the Basics: Hands-On Cell Culture Techniques` kepada staf dan pelajar Sarjana/PhD dari USM dan UiTM.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai prinsip dan teknik asas kultur sel, menyediakan latihan praktikal secara langsung dalam pengendalian sel, serta meningkatkan keyakinan peserta dalam mengaplikasikan teknik kultur sel di persekitaran makmal sebenar.

Sesi teori telah disampaikan oleh Pn. Mana Shimotsuma, iaitu penceramah dari Nacalai Tesque, Jepun beserta dua orang wakil dari Apical Scientific Sdn. Bhd. Manakala sesi hands-on di makmal dikendalikan oleh Pegawai Penyelidik dari BPIJ iaitu Dr. Siti Aminah Ahmed, Dr. Nurdianah Harif Fadzilah, Dr. Nizuwan Azman, Pn. Zaleha Md Toha dan Cik Siti Fatimah Samsurrijal.
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan), Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya bagi pihak Pengarah dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi Program, Dr. Siti Aminah Ahmed dan kumpulan Pegawai Penyelidik IPPT atas penganjuran bengkel yang bermanfaat dan memberi impak positif kepada peserta yang terlibat.

Program yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penglibatan seramai 33 orang peserta untuk sesi teori dan 21 orang peserta untuk sesi praktikal, yang terdiri daripada staf dan pelajar Sarjana/PhD dari USM dan UiTM.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Dr. Siti Aminah Ahmed
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
18 Jun 2025