BENGKEL PEMERKASAAN MyRA DAN KPI IPPT 2025 PERKASA KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN MELALUI STRATEGI KOLEKTIF
Bertam, 15 Mei 2025 – Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan staf Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menghadiri Bengkel Pemerkasaan MyRA dan KPI IPPT Sesi Pertama yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Auditorium Sains@Bertam.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan bengkel ini sebagai wadah untuk memperkukuhkan kefahaman warga IPPT terhadap kerangka penilaian MyRA, serta menyusun semula strategi bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) institusi secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, kekuatan sebenar IPPT bukan sahaja bergantung kepada fasiliti atau sumber kewangan, tetapi lebih utama adalah komitmen serta kolaborasi dalam kalangan warganya.
Beliau turut mengajak peserta untuk menjadikan bengkel ini sebagai ruang untuk “Co-Learn dan Re-Learn” daripada Penceramah Jemputan agar IPPT dapat melonjak sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi yang disegani.



Bengkel khusus ini turut menampilkan dua penceramah jemputan berpengaruh iaitu:-
1. Profesor Dr. Zafarina Zainuddin, Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis dan Ketua Panel Audit MyRA KPI USM, yang menyampaikan ceramah bertajuk “Empowering Excellence Together: Your Role in Driving Impact, Guided by MyRA Metrics”. Beliau menekankan kepentingan kesepaduan peranan individu dalam menyumbang kepada pencapaian institusi secara kolektif dan berstruktur.
2. Profesor Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah, Profesor Kehormat dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, yang berkongsi pengalaman dan strategi kejayaan beliau dalam ceramah bertajuk “Building a High-Performance School: Challenges and Strategies”. Penceramah menekankan pentingnya budaya penyampaian bukti secara proaktif dan kepimpinan strategik dalam melonjakkan prestasi MyRA sesebuah pusat pengajian.
Turut hadir memeriahkan bengkel ini ialah barisan Timbalan Pengarah IPPT yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya (Penyelidikan dan Jaringan), serta Profesor Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A.Karim, dan Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, bersama Ketua-ketua Jabatan dan Program Penyelidikan IPPT.



Bengkel diteruskan pada sebelah petang dengan Sesi Kedua iaitu perbincangan secara kumpulan bertumpu mengikut kumpulan seksyen-seksyen yang terdapat dalam penilaian MyRA.
Manakala hari kedua pula menyaksikan pembentangan hasil perbincangan oleh setiap kumpulan peserta.
Program khusus ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan IPPT, diketuai oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya dan pasukannya.
Melalui bengkel ini, warga IPPT diyakini dapat memperkukuh strategi penyelidikan dan pencapaian akademik sejajar dengan aspirasi universiti sebagai institusi APEX negara.

Teks disediakan oleh: Naziroh Shafii
Foto oleh: Jusrina Muhammad, Nur Fadilah Safar
Bahagian Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan
15 Mei 2025