SAMBUTAN AMBANG KEMERDEKAAN PERINGKAT IPPT/PPUSMB DISAMBUT MERIAH
KEPALA BATAS, 23 Ogos 2024- Bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) hari ini menganjurkan Sambutan Ambang Kemerdekaan bersama warga staf IPPT/PPUSMB.
Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat IPPT/PPUSMB ini berjaya memperlihatkan kerjasama antara semua jabatan IPPT/PPUSMB di mana turut melibatkan penglibatan semua warga staf di sini.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, sebagai warga universiti, kita memegang peranan yang penting dalam memastikan nilai kemerdekaan ini terus dihargai dan diisi dengan usaha yang berterusan.

Menurutnya lagi, dalam konteks universiti, kemerdekaan bukan hanya tentang kebebasan daripada penjajahan fizikal, tetapi juga tentang kebebasan minda serta sebagai pendidik dan penjawat awam, kita harus sedar bahawa kemerdekaan ini menuntut usaha berterusan untuk dipertahankan. Tugas kita bukan hanya mendidik, tetapi juga membentuk jiwa patriotik dalam kalangan pelajar dan staf.
Kemuncak kepada sambutan ini adalah semasa sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Ketua Jabatan/ Unit di IPPT/PPUSMB yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc.
Warga staf juga turut disajikan dengan persembahan individu oleh Dr. Hafizuddin Mohamed Fauzi, Ketua Unit Makmal Diagnostik Klinikal Perkhidmatan Perubatan PPUSMB dan diikuti dengan persembahan secara beramai-ramai oleh semua warga staf yang hadir.
Melalui majlis ini juga dilihat dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain terutamanya antara barisan kepimpinan dan pengurusan universiti bersama warga staf IPPT/PPUSMB



Hadir sama ialah adalah Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, menjalankan fungsi Pengarah IPPT/PPUSMB; Profesor Madya Dr. Hasni Arsad, Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Jaringan); Dr. Ida Shazrina Ismail, Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa) serta Pengurusan Tertinggi IPPT dan Pengurusan PPUSMB.

