Skip to main content

KPT PRIHATIN MADANI: LEBIH 500 PENDUDUK BALING MANFAATKAN SARINGAN KANSER

BALING, 21 November 2026 – Lebih 500 penduduk setempat mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan kanser menerusi Program KPT Prihatin Madani: Inisiatif Saringan Kanser (ISK) yang berlangsung di Masjid Ridzwaniah, Pekan Baling, Kedah.

Program komuniti selama empat jam bermula dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu dibuka kepada seluruh lapisan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan saringan kanser secara percuma.

Kehadiran yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas, pesara dan penduduk setempat, mencerminkan sambutan positif terhadap inisiatif membawa perkhidmatan saringan kesihatan lebih dekat kepada komuniti. Melalui penganjuran ini, penduduk berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa perlu ke hospital, sekali gus membantu mengatasi kekangan masa dan akses kepada perkhidmatan saringan.

Program ini diketuai oleh Dr. Hasmah Hussin, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am, bersama pasukan perubatan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program COMPASSION (Community Program for Sustainable Impact Mission) USM dengan kerjasama PKTAAB, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Kedah, GE HealthCare Malaysia Sdn. Bhd. serta Masjid Ridzwaniah, Pekan Baling, Kedah.

Pelaksanaan program di peringkat komuniti turut mendapat kerjasama erat daripada Jawatankuasa Masjid Ridzwaniah bagi memastikan kelancaran urusan logistik dan penyertaan kariah setempat.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang menjalani tiga jenis saringan utama, iaitu saringan kanser payudara, kanser usus dan kanser serviks. Setiap saringan turut disertai kempen kesedaran khusus bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal kanser.

Saringan kanser payudara membawa mesej kesedaran “Kesan Awal, Selamatkan Nyawa” bagi menggalakkan pemeriksaan awal dalam kalangan wanita, manakala saringan kanser usus mengetengahkan kempen “Usus Sihat, Hidup Lebih Baik” yang memberi penekanan terhadap penjagaan kesihatan sistem pencernaan. Saringan kanser serviks pula mengangkat tema “Saring Sekarang, Masa Depan Lebih Cerah” sebagai usaha menggalakkan langkah pencegahan dan pengesanan awal.

Selain perkhidmatan saringan, program ini turut menyediakan pameran Kenali Ubat Anda oleh Unit Farmasi PKTAAB bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penggunaan ubat-ubatan secara betul dan selamat.

Turut menjadi tumpuan ialah penggunaan teknologi pengimejan Automated Breast Ultrasound (ABUS) yang disediakan oleh GE HealthCare Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan Unit Imejan PKTAAB yang diketuai oleh Dr. Shazatul Ezzany Samsudin. Teknologi ini membantu dalam penilaian tisu payudara, khususnya bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat, tanpa menggunakan radiasi pengionan. Penggunaannya turut memberi nilai tambah kepada pelaksanaan saringan kanser payudara di peringkat komuniti.

Penganjuran inisiatif saringan kanser di institusi masjid ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengesanan awal kanser, malah memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan melalui pendekatan komuniti, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi KPT Prihatin Madani dan agenda USM APEX dalam memperkasakan kesejahteraan masyarakat, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Ketiga (SDG 3), iaitu memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua pada setiap peringkat umur.