Skip to main content

FUN RUN & RIDE FOR LIVER HEALTH 2026, PERKASA KESEDARAN PENJAGAAN KESIHATAN HATI

BERTAM, 14 November 2026 – Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program Fun Run & Ride for Liver Health 2026 di perkarangan PKTAAB, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan hati serta pencegahan kanser hati.

Program yang bertemakan “Together for a Healthier Tomorrow” itu menghimpunkan warga universiti dan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti riadah, perkongsian ilmu kesihatan serta pengisian kekeluargaan.

Program ini diselaraskan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz selaku penyelaras program. Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama Liver-ENRICH Research Group, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi Student Association (PKTAABSA) dan Kelestarian PKTAAB USM dalam menjayakan pelbagai pengisian.

Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin menyempurnakan pelepasan peserta Fun Run dan Fun Ride. Program turut diserikan dengan penanaman pokok Green Liver sebagai simbolik komitmen terhadap kesedaran penjagaan kesihatan hati dan kelestarian alam sekitar, di samping pelbagai aktiviti karnival termasuk pameran kesihatan, jualan makanan, Car Boot Sale, sukaneka dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Slot perkongsian ilmu turut menjadi antara pengisian utama program menerusi satu sesi forum yang membincangkan aspek pemakanan sihat, faktor risiko, gejala dan rawatan kanser hati, selain mengetengahkan pengalaman individu yang pernah berdepan dengan penyakit tersebut.

Forum ini menampilkan Puan Yusfizahani Md Yusuff, Pegawai Dietetik PKTAAB, yang mengupas tajuk “Pemakanan Sihat untuk Kesihatan Hati” dengan penekanan terhadap kepentingan amalan pemakanan seimbang dalam mengekalkan fungsi dan kesihatan hati.

Sementara itu, Dr. Jasmin Jalil, Pakar Onkologi Radiasi PKTAAB, menerusi tajuk “Kanser Hati – Risiko, Simptom & Rawatan” menjelaskan faktor risiko, gejala serta pilihan rawatan yang tersedia bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai penyakit berkenaan.

Turut mengisi forum ialah Dr. Loo Hooi Jin menerusi sesi “Kisah Benar Pengalaman Survivor Kanser Hati” yang mengetengahkan perjalanan beliau dalam menghadapi penyakit tersebut, termasuk cabaran sepanjang rawatan serta kepentingan sokongan dalam proses pemulihan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PKTAAB dalam memperluas pendidikan kesihatan kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, interaktif dan inklusif. Gabungan aktiviti riadah dan perkongsian ilmu diharap dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat serta lebih peka terhadap kepentingan penjagaan dan pengesanan awal penyakit hati.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah, cabutan bertuah serta sesi bergambar bersama para peserta dan warga kerja yang terlibat.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah, cabutan bertuah serta sesi bergambar bersama para peserta dan warga kerja yang terlibat.