IPPT TERIMA 12 ORANG PELAJAR BAHARU PROGRAM DOKTOR PERUBATAN USM+1 SIDANG AKADEMIK 2024/2025
IPPT merupakan sebuah institut kecemerlangan yang beroperasi di Kampus Bertam yang mana sebelum ini memfokuskan kepada pengajian peringkat Ijazah Tinggi yang melibatkan program Sarjana dan Doktor Falsafah serta penyelidikan yang terkait dengan bidang perubatan. Mulai Oktober 2024, IPPT telah mencipta sejarah baharu dengan penawaran pengajian Program Doktor Perubatan secara kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP).
Hal ini menjadikan program Doktor Perubatan merupakan satu-satunya pengajian peringkat Ijazah Pertama yang dijalankan di institut ini.


Minggu orientasi ini dimulai dengan sesi pendaftaran asrama pelajar di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam pada 14 Oktober 2024. Sesi pendaftaran melibatkan Urusetia dari Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT dengan kerjasama AMDI Student Association (ASA) serta pihak UiTM. Program diteruskan dengan taklimat dan lawatan di sekitar UiTM yang disampaikan oleh Urusetia Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT serta Sekreteriat dari UiTM.
Minggu orientasi diteruskan dengan ucapan bagi meraikan para pelajar yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang menjalankan fungsi Pengarah IPPT. Selain itu, sesi pengenalan mengenai IPPT turut melibatkan taklimat berkaitan pengenalan mengenai hal ehwal akademik dan pelajar oleh Dr. Ida Shazrina Ismail selaku Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa), taklimat mengenai pengenalan perkhidmatan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) oleh Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim selaku Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian & Piawaian) serta taklimat mengenai pengenalan Bahagian Penyelidikan dan Jaringan oleh Prof. Madya Dr. Hasni Arsad.






Semasa minggu orientasi, lawatan di PPUSMB turut diadakan. Lawatan berkaitan perkhidmatan klinikal dikendalikan oleh Pn. Nurul Amira Mohd Ali selaku Penolong Pendaftar Kanan (Bahagian Klinikal, Kelestarian dan Piawaian), lawatan ke Klinik Pakar Pergigian dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Norehan Mokhtar selaku Ketua Perkhidmatan Pergigian dan lawatan ke Unit Rehabilitasi dikendalikan oleh En. Akasyah Baharum selaku Ketua Perkhidmatan Rehabilitasi. Terdapat juga taklimat mengenai ASA oleh Dr. Asmida Isa selaku Penasihat ASA serta suai kenal antara ahli ASA dengan para pelajar Program Doktor Perubatan USM+1 semasa minggu orientasi. Minggu orientasi diakhiri dengan lawatan oleh para pelajar di sekitar kawasan Bertam dan Kepala Batas yang turut dikendalikan oleh ASA.
Minggu orientasi ini dapat memberi peluang kepada para pelajar bagi memahami dan menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran dan fasiliti yang terdapat di IPPT. Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara para pelajar dengan staf di IPPT serta PPUSMB.


