Skip to main content

IPPT TERIMA 12 ORANG PELAJAR BAHARU PROGRAM DOKTOR PERUBATAN USM+1 SIDANG AKADEMIK 2024/2025

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 18 Oktober 2024 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah menerima 12 Pelajar Baharu iaitu 5 lelaki dan 7 perempuan bagi Program Doktor Perubatan USM+1 sidang Akademik 2024/2025.

IPPT merupakan sebuah institut kecemerlangan yang beroperasi di Kampus Bertam yang mana sebelum ini memfokuskan kepada pengajian peringkat Ijazah Tinggi yang melibatkan program Sarjana dan Doktor Falsafah serta penyelidikan yang terkait dengan bidang perubatan. Mulai Oktober 2024, IPPT telah mencipta sejarah baharu dengan penawaran pengajian Program Doktor Perubatan secara kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP).

Hal ini menjadikan program Doktor Perubatan merupakan satu-satunya pengajian peringkat Ijazah Pertama yang dijalankan di institut ini.
Program Doktor Perubatan USM+1 di IPPT akan melibatkan pengajian selama dua tahun di Fasa I (Tahun 1 dan Tahun 2) yang merupakan fasa pra klinikal. Bagi Fasa II (Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5) yang melibatkan fasa klinikal, para pelajar akan menyambung pengajian mereka di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) di Kampus Kesihatan, Kelantan.
Minggu orientasi Program Doktor Perubatan USM+1 bagi Sidang Akademik 2024/2025 telah berlangsung selama lima hari bermula 14 sehingga 18 Oktober 2024 dan ia telah diadakan di Dewan Kuliah A Sains@Bertam yang dikendalikan oleh Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT.

Minggu orientasi ini dimulai dengan sesi pendaftaran asrama pelajar di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam pada 14 Oktober 2024. Sesi pendaftaran melibatkan Urusetia dari Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT dengan kerjasama AMDI Student Association (ASA) serta pihak UiTM. Program diteruskan dengan taklimat dan lawatan di sekitar UiTM yang disampaikan oleh Urusetia Bahagian Akademik & Antarabangsa IPPT serta Sekreteriat dari UiTM.

Minggu orientasi diteruskan dengan ucapan bagi meraikan para pelajar yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin yang menjalankan fungsi Pengarah IPPT. Selain itu, sesi pengenalan mengenai IPPT turut melibatkan taklimat berkaitan pengenalan mengenai hal ehwal akademik dan pelajar oleh Dr. Ida Shazrina Ismail selaku Timbalan Pengarah (Akademik & Antarabangsa), taklimat mengenai pengenalan perkhidmatan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) oleh Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim selaku Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian & Piawaian) serta taklimat mengenai pengenalan Bahagian Penyelidikan dan Jaringan oleh Prof. Madya Dr. Hasni Arsad.
Selain itu, beberapa taklimat berkaitan juga turut diberikan kepada pelajar semasa minggu orientasi seperti taklimat mengenai pengenalan Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) oleh Encik Mohammad Fauzi Yahaya, taklimat mengenai pengenalan Seksyen Keselamatan oleh Encik Muhammad Hambali Soid, taklimat mengenai pengenalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh Dr. Maisarah Nasution Waras dan taklimat mengenai pengenalan Perpustakaan IPPT oleh Puan Lizawati Muhammadan.
 
Di samping itu, taklimat berkaitan keseluruhan perjalanan Program Doktor Perubatan USM juga turut diberikan oleh Dr. Siti Salmah Noordin selaku penyelaras program ini di IPPT. Sesi perjumpaan bersama wakil dekan dari PPSP serta taklimat berkaitan Fasa I yang meliputi talimat ringkas mengenai perjalanan kursus wajib serta jenis penilaian di Fasa I turut disampaikan oleh Dr. Seoparjoo Azmel Mohd Isa selaku Penyelaras Fasa 1 Program Doktor Perubatan di PPSP.
 
Minngu orientasi turut juga melibatkan beberapa taklimat yang lain seperti taklimat mengenai hal ehwal akademik IPPT oleh Puan Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi yang merupakan Penolong Pendaftar (Akademik & Antarabangsa), taklimat mengenai Kursus Universiti oleh Prof. Madya Dr. Ch’ng Ewe Seng, taklimat mengenai Personal and Professional Development Programme (PPDP) oleh Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, taklimat E-Learning oleh Dr. Ahzad Hadi Ahmad, taklimat Handling of Mirosocope oleh Dr. Salbiah Isa, taklimat mengenai kerjaya sebagai Doktor Perubatan oleh Dr. Siti Salmah Noordin, dan taklimat Problem-based Learning (PBL) oleh Dr. Rohayu Hami. Selain itu, sesi mock PBL turut dikendalikan oleh Dr. Rohayu dan Dr. Husnaida Abdul Manan@ Sulong kepada para pelajar.
 Selain taklimat, minggu orientasi juga melibatkan lawatan di fasiliti pengajian yang terdapat di SAINS@Bertam seperti lawatan di Perpustakaan, Bilik Kuliah, Makmal Pelbagai Guna, Muzium Anatomi dan Makmal Kemahiran Klinikal. Sesi penyerahan mentor pelajar juga turut diadakan. Seramai 12 orang mentee yang terdiri daripada para pelajar telah diserahkan kepada 12 orang mentor. Para mentor terdiri daripada Pensyarah Perubatan serta Pensyarah Universiti di IPPT.

Semasa minggu orientasi, lawatan di PPUSMB turut diadakan. Lawatan berkaitan perkhidmatan klinikal dikendalikan oleh Pn. Nurul Amira Mohd Ali selaku Penolong Pendaftar Kanan (Bahagian Klinikal, Kelestarian dan Piawaian), lawatan ke Klinik Pakar Pergigian dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Norehan Mokhtar selaku Ketua Perkhidmatan Pergigian dan lawatan ke Unit Rehabilitasi dikendalikan oleh En. Akasyah Baharum selaku Ketua Perkhidmatan Rehabilitasi. Terdapat juga taklimat mengenai ASA oleh Dr. Asmida Isa selaku Penasihat ASA serta suai kenal antara ahli ASA dengan para pelajar Program Doktor Perubatan USM+1 semasa minggu orientasi. Minggu orientasi diakhiri dengan lawatan oleh para pelajar di sekitar kawasan Bertam dan Kepala Batas yang turut dikendalikan oleh ASA.

Minggu orientasi ini dapat memberi peluang kepada para pelajar bagi memahami dan menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran dan fasiliti yang terdapat di IPPT. Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara para pelajar dengan staf di IPPT serta PPUSMB.

Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor
Teks disunting oleh: Dr. Siti Salmah Noordin & Pn. Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
18 Oktober 2024