Perubatan Nuklear
Pengenalan
Perkhidmatan Perubatan Nuklear merupakan satu perkhidmatan diagnostik, teraputik dan intervensi yang penting dalam bidang perubatan. Ia adalah satu pengkhususan dalam bidang perubatan/radiologi yang menggunakan bahan radioaktif di dalam badan untuk mendiagnosis atau merawat penyakit. Bahan radioaktif untuk kegunaan perubatan boleh wujud dalam bentuk radioisotop sahaja ataupun radioisotop yang dikombinasi dengan bahan farmaseutikal tertentu dan menjadi radiofarmaseutikal. Bahan radioaktif ini dimasukkan ke dalam tubuh pesakit sama ada melalui suntikan atau minum/makan atau sedut.
Bagi proses pengesanan penyakit, pesakit akan diskan dengan menggunakan alat pengesan sinaran seperti kamera gamma/SPECT (Single Photon Emission Computed Tomography) atau PET (Positron Emission Tomography). Taburan bahan radiofarmaseutikal di dalam badan akan dikesan dan maklumat mengenai fungsi organ tertentu dalam badan dapat diperolehi. Maklumat yang diperolehi daripada prosedur ini membantu perancangan rawatan yang seterusnya kepada pesakit.
Dalam proses pembentukan sesuatu penyakit, perubahan keupayaan fungsi organ yang terlibat sentiasa berlaku lebih awal daripada perubahan fizikalnya. Bidang ini membolehkan para doktor mengesan perubahan fungsi ini dan memberi rawatan yang sepatutnya pada peringkat awal.
Fungsi
Perkhidmatan perubatan nuklear berfungsi memberi perkhidmatan diganostik perubatan nuklear serta terapi yang terbaik dan tepat kepada pesakit dan pelanggan dengan mengutamakan keselamatan, keselesaan dan keyakinan tanpa mengambil kira status seseorang pesakit. Antara perkhidmatan perubatan nuklear adalah termasuk Pengimejan Perubatan Nuklear iaitu kamera gamma/SPECT (Single Photon Emission Computed Tomography).
- Last updated on .
- Hits: 2902