Skip to main content

UJIAN TEKANAN SENAMAN TREADMILL PENGESAN AWAL PENYAKIT JANTUNG

EST 2016

BERTAM, 26 Mei 2016 - Ujian Tekanan Senaman atau lebih dikenali sebagai ‘Exercise Stress Test’ (EST) merupakan ujian saringan jantung yang ‘non-invasive’ iaitu prosedur yang tidak melibatkan alat-alat yang memecahkan kulit atau fizikal memasuki tubuh.

Ujian ini dilakukan dengan kaedah senaman iaitu seseorang perlu berjalan atau berlari di atas mesin treadmill dan elektrokardiogram (ECG) jantung dipantau sepanjang ujian.

Menurut Pakar Perubatan IPPT, Dr. Tan Kok Leng, ujian ini mengambil masa selama 10 sehingga 12 minit. Ujian senaman ini akan dihentikan apabila tahap tekanan (stress) yang mencukupi telah dicapai atau pesakit mengalami tanda awal serangan jantung.

EST 2016 2

“Ujian ini lazimnya dilakukan terhadap pesakit yang mempunyai risiko penyakit jantung aterosklerosis dimana saluran pembuluh darah arteri (arteri koronari) menjadi sempit akibat pengendapan kolesterol.”

“Keadaan aterosklerosis menyebabkan pengurangan bekalan darah ke jantung semasa bersenam. Keadaan ini dipanggil ‘angina pectoris’. Pengesanan awal penyakit ini boleh mengurangkan risiko serangan jantung (myocardial infarction) jika dirawat pada peringkat awal.” jelasnya.

Selain itu, ujian EST membolehkan doktor menentukan keupayaan fizikal seseorang, mempamerkan rentak jantung yang tidak normal dan menentukan risiko keseluruhan sebelum sesuatu pembedahan dilaksanakan.

Menurut Dr. Tan lagi, IPPT berhasrat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dengan menggabungkan ujian EST ini dengan 'Myocardial Perfusion Imaging' (MPI) pada masa hadapan.

“MPI ialah ujian pengimejan yang menilai pengaliran darah ‘perfuses’ di otot jantung. Menerusi ujian ini, kawasan otot jantung yang tidak mendapat aliran darah yang mencukupi boleh dikesan.” ujarnya.

Ujian EST yang kini ditawarkan di IPPT mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar Seberang Perai Utara dan seluruh warga USM. Orang awam yang berisiko dan memerlukan perkhidmatan ujian ini boleh mendapatkannya melalui rujukan daripada doktor atau melalui pakej yang ditawarkan oleh AMDI Fitness Lab.

Maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini boleh menghubungi Kompleks Klinikal di talian, 04-5622693.

 

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Norizan Ishak

  • Last updated on .
  • Hits: 3371