Skip to main content

CPS: PENGHAYATAN PERISTIWA DI BULAN REJAB

BERTAM, 29 Mei 2013– Ceramah Perdana Semasa (CPS) anjuran Unit Hal Ehwal Islam (UHEIS) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) telah diadakan di Dewan Seminar Ibnu Sina, Bandar Putra Bertam, Kepala Batas. CPS pada kali ini menjemput Ustaz Alrizwady Abdul Rahman yang mengupas tajuk Penghayatan peristiwa di bulan Rejab.

“Manusia secara umumnya akan terbahagi kepada tiga golongan apabila menerima arahan iaitu mereka yang komited, munafik (memberi pelbagai alasan) dan mereka yang leka dengan menurut nafsu,” terang Ustaz Alrizwady yang menceritakan kisah Perang Tabuk yang terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah sebagai iktibar kepada hampir 100 orang staf IPPT yang hadir.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah At-Taubah; ayat ke-42;

                    

Maksudnya: “Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Peperangan Tabuk merupakan peperangan terakhir baginda Rasulullah S.A.W yang berpunca dari ketamakan kerajaan Rom pimpinan Herokla atau lebih dikenali dengan nama Hercules untuk memusnahkan kerajaan Islam yang semakin berkembang di bawah pimpinan Rasulullah SAW. Perang Tabuk yang berakhir dengan pengunduran tentera musuh sebaik sahaja memasuki sempadan Tabuk.

“Allah tidak akan azab seseorang itu tanpa memberi peringatan. Justeru, kita harus cepat-cepat memasang senjata kita iaitu doa apabila telah diberikan hidayah,” tegasnya lagi memperingat para hadirin agat tidak bersikap leka, berlengah dan juga bertangguh.

Banyak pelajaran dan juga tauladan dapat diambil dari kisah Perang Tabuk ini terutamanya hal-hal kecil yang sering diambil mudah seperti berlapang dada untuk menerima cadangan daripada orang lain, adab ketika pulang ke rumah, adab melayan orang lain mengikut tingkatan tahap pemikiran, iman dan takwa mereka, berkata benar walaupun pahit dan juga hakikat hak manusia adalah untuk berusaha, manakala hak kemenangan pula adalah milik Allah.

“Dalam konteks pekerjaan, memang kita mempunyai tanggungjawab dalam bekerja namun patuh dan taat kepada Allah mengatasi segala-galanya,” tegas Ustaz Alrizwady yang menjelaskan antara kesilapan manusia pada masa kini baik lelaki mahupun wanita yang lebih mengutamakan urusan pekerjaan berbanding dengan urusan keluarga di rumah.

Kisah peperangan ini menjelaskan kepada kita bahawa umat Islam akan sentiasa berhadapan dengan pertembungan di antara yang hak dan yang batil. Kadangkala, jiwa kita yang lemah mudah sahaja tergoda dengan ganjaran yang sedikit berbanding dengan ganjaran yang lebih besar dan lebih kekal.

Berita/ Foto: Mohd Nadzri Shuib

  • Last updated on .
  • Hits: 1526