Skip to main content

KOMUNIKASI PERSURATAN CERMINKAN ORGANISASI

BERTAM, 28 Mei 2013– Secara umumnya komunikasi terbahagi kepada dua bentuk iaitu komunikasi intrapersonal [berfikir, bercakap dalam hati] manakala komunikasi interpersonal pula terjadi apabila kita bercakap dengan lebih daripada seorang. Contohnya guru sedang mengajar atau penceramah sedang menyampaikan ceramah. Kedua-dua bentuk komunikasi tersebut sentiasa kita lakukan setiap hari apatah lagi bagi penjawat awam. Dalam konteks organisasi komunikasi persuratan amat penting kerana ianya diterjemahkan dalam bentuk surat, memo, pekeliling, borang, laporan dan sebagainya. Apabila hendak diterjemahkan dalam bentuk surat maka penggunaan bahasa, tatabahasa, struktur ayat dan format surat menyurat mestilah betul dan tepat kerana ianya mencerminkan imej dan prestasi organisasi tegas Encik Hazlan ketika menyampaikan ceramahnya di hadapan hampir 50 orang peserta.

Kursus Surat Menyurat (Urusan Surat Kerajaan) dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan IPPT khusus untuk staf IPPT daripada latarbelakang pentadbiran dan juga Setiausaha Pejabat kerana mereka inilah yang bakal mencorak imej IPPT dengan mengeluarkan surat yang berkualiti kepada institusi-institusi luar, badan kerajaan dan swasta dan juga masyarakat luar.

Kursus selama sehari ini dikendalikan oleh Encik Hazlan Abdul Hamid yang juga Ketua Penolong Pendaftar IPPT. Adalah diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang telah diajar sepanjang berkursus di sini.

Berita/ Foto: Mohd Nadzri Shuib

  • Last updated on .
  • Hits: 1696