MAJLIS SEKALUNG BUDI HARGAI SEBELAS PESARA IPPT USM
KEPALA BATAS, 1 April 2016 - Seramai 11 orang bekas staf Universiti Sains Malaysia (USM) yang perkhidmatan terakhirnya di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) diraikan dalam satu majlis makan tengahari di Penang Golf Resort di sini hari ini.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan ikhlas di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama berkhidmat di Universiti Sains Malaysia khususnya di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Pengarah IPPT, Dr. Norehan Mokhtar dalam ucapannya melahirkan rasa terharu dengan kesudian tetamu yang diraikan hadir dalam majlis ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara yang diraikan, di atas bakti yang telah diberikan bermula dari awal sehingga ke akhir perkhidmatan di Universiti Sains Malaysia. Sesungguhnya, jasa yang ditaburkan di universiti ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang,” katanya.
“Persaraan bukanlah satu titik nokhtah untuk terus memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada universiti. Segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam boleh menjadi aset untuk terus aktif dan menggapai lebih banyak kejayaan selepas persaraan dan membantu universiti mencapai kecemerlangan,” tambah Norehan lagi.
Mereka yang diraikan dalam majlis ini terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan yang bersara wajib dan pilihan termasuk mantan Pengarah IPPT, Prof. Abd Aziz Tajuddin yang kini dilantik sebagai Pendaftar USM secara kontrak. Selain itu, 4 orang pensyarah lain yang diraikan ialah Prof. Dr. Rabindarjeet Singh a/l Kabal Singh, Prof. Dr. Ishak Mat, Datin Dr. Aishah Knight Abd Shatar dan Dr. Hasnah Hashim.
Majlis ini juga turut meraikan staf pentadbiran yang bersara antaranya ialah Puan Rohani Bakar, Encik Mustafa Albakri Abdul Majid, Puan Noormala Kasim, Puan Nor Lisah Shamsuri, Puan Faridah Abd Rahman dan Encik Azhar Ahmad.
Dr. Norehan Mokhtar juga turut berbesar hati menyampaikan cenderahati daripada warga IPPT kepada pesara-pesara yang diraikan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff, Ketua-ketua Kluster, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan IPPT.
Teks : Faisal Jamaludin / Foto : Norizan Ishak
- Last updated on .
- Hits: 3133