Skip to main content

IPPT SEMARAKKAN SEMANGAT KESUKANAN

 

PULAU PINANG, 19 Mei 2013 – Temasya Olahraga Tahunan USM kali ke-39 telah menutup tirainya semalam. Acara tahunan ini telah diadakan di Stadium Olahraga USM Kampus Induk dengan menyaksikan sebanyak 17 kontijen mengambil bahagian. Temasya ini adalah merupakan salah satu acara tahunan yang terbesar dianjurkan di universiti dan ianya telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 1972. Pada tahun 2013 ini adalah merupakan sambutan yang ke-39.

Dalam temasya yang berlangsung selama dua hari ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM telah berjaya memperolehi satu pingat Perak dan dua pingat Gangsa. Pensyarah IPPT iaitu Dr Enrico Magosso telah memperolehi Perak dalam acara 3000m Jalan Kaki Lelaki Veteran dengan catatan masa 23 minit 41 saat. Dua pingat Gangsa masing-masing diperolehi oleh Mohd Salleh Abdul Rahman menerusi acara Larian Sebatu Diraja dan Pasukan Tarik Tali Lelaki.

Temasya ini telah dirasmikan oleh  Profesor Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar setiap atlit dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta belajar menerima erti kemenangan dan kekalahan secara positif.

Menerusi temasya ini juga, pihak penganjur membuka penyertaan kepada masyarakat setempat untuk turut merasai kemeriahan temasya ini menerusi acara Larian Sebatu Diraja dan acara Larian Sebatu Tuanku Raja Perempuan. Kategori yang dipertandingkan dalam temasya ini ialah trek, acara berpasukan dan acara padang bagi kategori lelaki, wanita dan senior veteran.

Atlet Lelaki Terbaik Kejohanan telah diterima oleh Soh Sin Siang dari Kontijen Fajar Harapan dan Atlet Wanita Terbaik ialah Pok Wei Ling dari Kontijen Murni. Desasiswa Indah Kembara dan Desasiswa Nurani masing-masing dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi kategori Lelaki dan Wanita.

 

Berita / Foto : Mohd Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1472