Skip to main content

LEMBAGA GABENOR USM MEMPERAKUKAN KENAIKAN PANGKAT PROFESOR NARAZAH

BERTAM, 9 Mei 2013– Profesor Madya Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang juga Pensyarah Perubatan di Kluster Perubatan Regeneratif telah dinaikkan pangkat ke jawatan Pensyarah Perubatan Gred Khas C (VK7) yang membawa gelaran Profesor berkuatkuasa pada 17 April 2013.

Lantikan Profesor Dr. Narazah ini telah diperakukan di dalam Mesyuarat Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) ke-91 yang telah diadakan di IPPT pada 16 April 2013 lalu.

Profesor Dr. Narazah Md Yusoff memulakan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya sebelum menyambung pengajian di University of London dalam bidang Diploma in Clinical Pathology dan Master in Medical Science (Hematology). Profesor Dr. Narazah turut melakar sejarah negara apabila pernah menjadi pelajar pertama yang lulus Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Sains Genetik di Universiti Kobe iaitu institusi pengajian tinggi paling termaju dalam bidang berkenaan di Jepun.

Beliau yang terkenal sebagai seorang yang tegas dan begitu komited terhadap kerjayanya. Profesor Dr. Narazah telah mengharumkan nama IPPT di persada antarabangsa apabila dilantik sebagai Perunding Penyelidikan bagi Xinxiang Medical University, China. Selain itu, beliau juga telah mengepalai Makmal Diagnostik Termaju IPPT sehingga dianugerahi sijil Akreditasi makmal ISO 15189 bagi bidang pengujian dari Jabatan Standard Malaysia.

Seluruh warga IPPT mengucapkan syabas dan tahniah kepada Profesor Dr. Narazah di atas lantikan ini. Semoga dengan pelantikan ini akan menyemarakkan lagi semangat bekerja agar lebih banyak lagi curahan bakti kepada masyarakat dalam bidang perubatan dapat diberikan.

 

Disediakan oleh : Mohd Nadzri Shuib

  • Last updated on .
  • Hits: 3078