Skip to main content

MEMAHAMI HAK-HAK KEPENGGUNAAN

BERTAM, 9 Mei 2013– “Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk menyelidik dan mengetahui hak-hak mereka sebelum membeli ataupun menurunkan tandatangan bagi urusan perjanjian jual beli,” tegas Encik Ahmad Yazid Ayub, Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Pejabat Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Pulau Pinang semasa menyampaikan Ceramah Kepenggunaan kepada kakitangan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Dalam ceramahnya beliau banyak memberikan contoh kes-kes yang dihadapi secara tidak langsung menerangkan tentang peranan dan fungsi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan oleh pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna, 1999

Antara objektif lain penubuhan tribunal ini ialah untuk menyediakan saluran alternatif kepada pengguna menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat. Ini adalah kerana pengguna akan berhadapan dengan masalah-masalah seperti kos guaman yang tinggi, prosedur yang rumit dan masa yang panjang sekiranya tidak menggunakan saluran alternatif yang ditawarkan oleh TTPM. Permohonan untuk memfailkan kes kepada Mahkamah Tribunal hanya dikenakan caj RM 5.00 yang boleh dibayar secara tunai atau on line. Tempoh masa tuntutan ganti rugi ke atas barangan atau perkhidmatan hendaklah tidak melebihi 3 tahun daripada tarikh pembelian. Walau bagaimanapun bidang kuasa  Mahkamah Tribunal terhad kepada jumlah tuntutan yang tidak melebihi RM25,000.00.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk mencari kelemahan dan kekurangan sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mengikut sumber yang boleh dipercayai kerana peniaga atau jurujual akan sentiasa menceritakan kebaikan barang yang dijual sahaja,” ujar En. Yazid memberi kesimpulan di hadapan hampir 50 orang peserta yang hadir.

Berita/ Foto : Mohd Nadzri Shuib

  • Last updated on .
  • Hits: 2110