Skip to main content

WARGA EMAS PERLU MENITIKBERATKAN KESIHATAN

 

KEPALA BATAS, 25 April 2013– Bidang penyelidikan amat sinonim dengan kewujudan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju selaras dengan misinya untuk membangunkan penyelidikan termaju yang terkini, melaksanakan program pasca siswazah berinovasi dan menyampaikan perkhidmatan kesihatan tertiar untuk kelestarian manusia. Warga universiti juga diseru untuk lebih prihatin dan komited dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu memperkasakan golongan “bottom billion” atau dikenali juga sebagai golongan keterbawahan sejajar dengan visi Universiti Sains Malaysia (USM) “Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.”

Menyedari hakikat ini, sepasukan penyelidik dari IPPT telah menjalankan program kesedaran kesihatan oral dan masalah berdengkur yang telah diadakan di Kompleks Darul Hanan, Kepala Batas. Program ini dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 13 Mac lalu dan berakhir hari ini. Ia melibatkan warga emas kompleks berkenaan di mana pelbagai aktiviti dilakukan bagi memberi pendedahan kepada warga emas ini tentang kepentingan menjaga kesihatan oral.

Program kajian ini yang dikendalikan oleh dua orang pensyarah iaitu Dr Sa’adiah Shahabudin dan Dr Hasnah Hashim dengan dibantu oleh jururawat terlatih. Menerusi program ini, warga emas didedahkan dengan cara penjagaan mulut yang betul. Ia juga memberi penerangan tentang tanda-tanda penyakit yang sering berlaku di bahagian mulut seperti kanser.  Dr Sa’adiah Shahabudin dalam ceramahnya memberitahu dan mengingatkan warga emas supaya menitikbaratkan penjagaan mulut dan mengesan sendiri tanda-tanda penyakit bagi mendaptkan rawatan awal.

Sesi ceramah juga turut disampaikan oleh Dr Muhammad Yusri Musa, Timbalan Pengarah Klinikal IPPT tentang masalah berdengkur semasa tidur yang dikatakan boleh membawa maut. Menurut beliau, berdengkur yang kritikal mampu mengundang bahaya kerana saluran pernafasan akan terganggu dan mampu menyebabkan kematian. Beliau menyarankan agar mereka yang mempunyai masalah dengkuran yang kritikal agar mendapatkan rawatan di hospital bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

 

Berita / Foto : Mohd Faisal Jamaludin

  • Last updated on .
  • Hits: 1862