Skip to main content

SALAM EIDUL ADHA 1436 HIJRIAH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tanggal 10 Zulhijjah 1436 Hijrah seluruh umat Islam di Malaysia dan seantero dunia akan menyambut Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Qurban dengan bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti menzahirkan keimanan dan ketaqwaan  kepada Allah s.w.t, di samping memperingati sunah Nabi Ibrahim Khalilul Allah dan keluarga baginda. Eidul Adha atau Hari Raya Qurban, sebenarnya lebih besar maknanya  dan lebih tinggi nilainya berbanding dengan Eidul Fitri.  Sejajar dengan kedudukan itu, masa bertakbir memuji Allah s.w.t dipanjangkan.

Ianya bermula pada malam hari raya hinggalah hari yang keempat, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan sebagai hari  tasyrik.  Di samping bertakbir, bertasbih dan bertahmid, umat Islam turut melaksanakan ibadah qurban pada hari  tersebut.

Demikian pula bagi umat Islam yang berada di Tanah Suci, mereka turut menunaikan ibadah haji pada tiga hari tasyrik itu.  Saudara kita yang menjadi tetamu Allah s.w.t di Tanah Suci Mekah, mereka berkorban harta, wang ringgit dan sebagainya untuk sampai ke sana semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.  Insafi dan sedarilah bahawa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as menyembelih anaknya Nabi Ismail as adalah merupakan pengorbanan yang amat besar nilainya di sisi Allah s.w.t.

Berbekalkan keimanan dan ketaqwaan  kepada  Allah, Nabi Ibrahim nekad melaksanakan perintah Allah  dan  Allah telah membuktikan kekuasaanNya menggantikannya dengan binatang ternakan.  Ambillah pengajaran daripada peristiwa ini kerana ianya dapat mendidik kita menjadi insan berjiwa hamba, tidak ego, tidak takbur, tidak mementingkan diri sendiri dan impaknya ialah akan lahir sifat dan semangat sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara. Begitulah hakikat yang sebenarnya tentang pergorbanan.

Tidak dapat digambarkan bagaimana kehebatan manusia sanggup mengorbankan nyawa dan darah mereka demi Allah s.w.t, tetapi inilah hakikat yang berlaku di negara kita bagaimana kemerdekaan dan keamanan yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan para pejuang dan pasukan keselamatan kita menentang penjajah dan mempertahankan negara daripada musuh negara yang kejam seperti pengganas komunis.

Sebenarnya dalam apa juga bidang dan lapangan kehidupan pengorbanan adalah satu tuntutan dan kemestian.  Harus disedari bahawa hasil daripada pengorbanan orang yang terdahulu maka pada hari ini kita mengecapi nikmat kebebasan dan kemerdekaan.  Kita patut bersyukur kerana baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke 58 dan juga Hari Malaysia yang merupakan detik penting dalam lipatan sejarah tanah air.

Seterusnya, orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang sanggup melakukan pengorbanan. Mereka sanggup berkorban masa, wang,  jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang bergolek, sebaliknya tanpa pengorbanan  pelajar  akan gagal, pentadbir akan kecewa, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur, kampung halaman porak peranda dan negara akan terus dijajah.

Akhir kalam, selain daripada melaksanakan ibadah qurban kita juga dituntut untuk berpuasa sunat Arafah kerana Abu Qatadah ra berkata, Rasulullah saw pernah ditanya tentang puasa hari ‘Arafah, kemudian baginda menjawab “Puasa itu (puasa hari ‘Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”

Justeru, saya menyeru agar marilah sama-sama kita menghayati Eidul Adha yang bakal disambut dengan melakukan pengorbanan bagi mencapai kecemerlangan sama ada dalam kehidupan, kerjaya mahupun menara ilmu yang kita cintai ini iaitu Universiti Sains Malaysia.

Wassalam Sekian, terima kasih.

Ikhlas  daripada

Profesor  Dr. Abd Aziz Tajuddin
Pengarah
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia Bertam,
Kepala Batas, Pulau Pinang

8 Zulhijjah 1436 Hijriah

  • Last updated on .
  • Hits: 2026