Skip to main content

USM PERKUKUH KERJASAMA DENGAN NEWCASTLE UNIVERSITY

Newcastle 2015 1

UNITED KINGDOM, 21 Oktober 2015 – Kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Newcastle University (NU) diperkukuhkan lagi melalui penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) dan pembaharuan memorandum perjanjian (MoU) yang telah dimeterai pada tahun 2010.

Majlis penandatanganan perjanjian ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi mewakili pihak USM dan Newcastle University diwakili oleh Pro-Vice-Chancellor mereka, Profesor Suzanne Cholerton pada satu majlis ringkas yang diadakan di sana.

Tumpuan kerjasama ini adalah dalam bentuk penyelidikan bersama, perkongsian maklumat dalam bentuk penerbitan dan maklumat saintifik, penawaran program ijazah berkembar serta pendidikan dan latihan.

Menurut beliau, dalam proses ke arah pengantarabangsaan universiti, USM sebelum ini telah bekerjasama dengan KLE Society, Belgaum India bagi menawarkan program berkembar Ijazah Sarjana Muda Perubatan.

“USM kini sedang bekerjasama dengan universiti di Perancis bagi menawarkan program lepasan ijazah Sarjana Sains Kimia juga secara berkembar. Selain itu, USM juga sedang mengorak langkah untuk menawarkan program pendidikan lanjutan kepada institusi pendidikan di Indonesia, Turki, Australia, United Kingdom dan Qatar yang lebih menumpukan kepada program latihan,” katanya.

Tambah beliau lagi, "masih terdapat banyak bidang yang boleh diteroka untuk kerjasama di masa hadapan seperti sains sosial, kejuruteraan, seni, kesusasteraan dan budaya, pendidikan pendamaian, neurosains dan sains penuaan. Seterusnya aktiviti lain seperti siri syarahan akademik, pameran penyelidikan, penerbitan buku bersama dan  parlimen mahasiswa juga boleh dikongsi untuk kebaikan bersama."

Newcastle 2015

Pada tahun 2010, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM telah menandatangan MoU dengan NU bagi tujuan kolaborasi penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar. Hasil daripada kerjasama tersebut 2 orang pelajar USM telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd),  seorang pelajar di peringkat Sarjana Sains dan akan datang seramai 4 orang pelajar pula akan menyambung pengajian di peringkat Phd. Beberapa orang pensyarah juga telah melaksanakan cuti sabatikal mereka di NU.

Di antara bidang pengajian yang menjadi tumpuan utama ialah sel stem, imunobiologi, genetik, nutrisi dan epigenetik.  Selain daripada aktiviti akademik, projek penyelidikan dalam bidang kanser sentiasa berjalan antara Northern Institute for Cancer Research, NU dan IPPT.

Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi IPPT, Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff telah dilantik sebagai Felo Kehormat NU dan terkini seorang pelajar USM telah berjaya menamatkan viva pengajian di peringkat Phd hasil daripada penyeliaan bersama pensyarah USM dan NU.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Dekan Pengajian Siswazah NU, Profesor John Kirby, Dekan Penyelidikan dan Inovasi NU, Profesor Werner Hofer, Pengarah Program Pasca Siswazah Antarabangsa NU, Profesor Steve Yeaman, Pengarah IPPT, Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Dr. Musa Ali, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Penerbitan dan Inovasi, Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff, Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar IPPT, Dr. Shahrul Bariyah Sahul Hamid.

Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid & Mohd Faisal Jamaludin / Foto: Delegasi USM

  • Last updated on .
  • Hits: 1626